Malaysia Dateline

2,000 kilogram buah-buahan dan 70 ekor kambing jadi tarikan program ‘Street Raya’ JAWI

2,000 kilogram durian dan buah-buahan, 70 ekor kambing, 50,000 cucuk sate serta 2,500 ketul ayam KFC disediakan khas untuk pengunjung mengisi perut.

Itulah antara menu yang dihidangkan kepada orang ramai yang hadir ke Dataran Merdeka, sempena Program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, hari ini.

Durian menjadi tarikan utama di Program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan, hari ini.

”Menerusi pemerhatian wartawan dan jurugambar, walaupun cuaca panas, orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka kira-kira jam 1 tengah hari sebagai persediaan untuk menjamu juadah yang disediakan di 97 buah gerai.

Selain Dr Mujahid, program petang tadi turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan ini melibatkan 85 buah masjid dan surau Jumaat termasuk dari Putrajaya dan Labuan.

Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat kelihatan berselera menikmati juadah yang disediakan termasuk nasi lemak, nasi arab, nasi beriyani, ayam pusing, murtabak dan char kuey tiaw dalam program bertemakan Ummah Disantuni, Nikmat Disyukuri.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, objektif penganjuran program yang julung kali diadakan ini mencapai matlamatnya iaitu menggambarkan konsep masjid rahmah.

Orang ramai terutama kanak-kanak begitu teruja menikmati juadah dan buah-buahan yang disediakan.

“Konsep masjid Rahmah adalah masjid yang Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat .

“Pihak masjid ini turun ke lapangan untuk menyantuni masyarakat, pada masa sama memberi gambaran bahawa masjid bukan setakat berada dalam kariah.

“Malah masjid-masjid bersedia memberikan perkhidmatan di luar daripada kariah mereka.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan promosi yang diadakan dan saya jangkakan pengunjung yang hadir hari ini melebihi 25,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline, pada majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Dr Mujahid menyantuni sekumpulan pelajar.

Turut hadir dalam program yang mendapat anugerah ‘The Malaysia Book of Records’ itu adalah Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad, Timbalannya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sementara itu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH pula berkata, program seperti dijangka diadakan pada masa akan datang.

“InsyaAllah program seperti ini akan dijadikan acara tahunan kita. Saya lihat kaum Cina, India, dan juga pelancong dari dalam dan luar negara hadir untuk meraikan Street Raya bersama-sama.

“Program ini adalah julung kali diadakan di bawah pentadbiran Islam Jabatan Perdana Menteri dengan JAWI dan juga MAWIP.

“Maknanya, tuan rumah program ini adalah masjid-masjid dari sekitar Wilayah Persekutuan. Ia bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara pihak masjid dan masyarakat,” ujarnya.

Nicole

Pelancong dari Argentina, Nicole, 35, memuji juadah yang disediakan dan berharap program seperti ini akan diadakan lagi.

“Saya makan char kuey tiaw dan nasi lemak. Memang sedap makanan itu dan saya juga rasa seronok sebab dapat bercampur dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Lee Ah Wah

Pengunjung tempatan, Lee Ah Wah, 59, pula berkata secara keseluruhan, program ini memang wajar diadakan kerana mengumpulkan masyarakat dunia di bawah satu bumbung.

“Saya lihat hari ini masyarakat berkumpul untuk sama-sama meraikan jamuan ini. Saya dapat rasakan satu keadaan yang harmoni,” katanya.