Malaysia Dateline

2,000 menara telekomunikasi akan dibina di Perak

Kerajaan negeri Perak menyasarkan untuk membina 2,000 menara telekomunikasi bagi membolehkan penerimaan liputan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G menjelang tahun 2021.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata pembinaan menara telekomunikasi itu akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan (telco) terpilih bermula bulan depan.

Menurut Hasnul Zulkarnain pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 50 hingga 100 menara komunikasi akan dibinadi seluruh negeri pada setiap bulan bermula bulan ini.

“Lokasi pembinaan bergantung kepada kawasan berkepadatan penduduk tinggi yang dicadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik tanah persendirian,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis bertemu rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Titi Serong dan Parlimen Parit Buntar pada Khamis.

Hasnul Zulkarnain yang juga ADUN Titi Serong berkata kerajaan negeri berharap rakyat memahami objektif pembinaan menara komunikasi bertujuan memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan.

Hasnul Zulkarnain berkata tindakan pihak tertentu membantah pembinaan menara telekomunikasi atas alasan mengundang penularan kadar radiasi tinggi sebenarnya tidak berasas kerana pancaran gelombang radiasi dihasilkan menara telekomunikasi sangat rendah.

“Kadar radiasi dihasilkan telefon pintar yang kita miliki lebih tinggi daripada pancaran radiasi dihasilkan menara telekomunikasi,” katanya.

Mengenai status pemeriksaan menara komunikasi haram di seluruh negeri Perak berakhir 31 Dis lepas, Hasnul Zulkarnain berkata kebanyakan pemilik menara haram telah menyerah diri dan berdaftar selain membayar denda.

Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain berkata jalan raya di pekan Titi Serong akan dilebarkan tidak lama lagi dan peniaga di tepi jalan bakal dipindahkan ke tempat lain.

“Kita sedang kenal pasti tapak untuk tempatkan peniaga di kawasan itu apabila projek itu dilaksanakan bagi mengelak peniaga mengalami kerugian,” katanya.