2000 poster papar wajah Tun M diturun, BN kempen di premis sekolah

2000 poster papar wajah Tun M diturun, BN kempen di premis sekolah

Lebih 2000 poster yang memaparkan foto bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah diturunkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata calon PKR parlimen Selayang William Leong.

Tindakan SPR ini, katanya menimbulkan rasa tidak puas hati pengundi kerana poster-poster pilihan raya BN yang memaparkan foto presiden sebuah negara asing dibenarkan dipasang.

SPR bertindak mengoyakkan gambar Tun Dr Mahathir pada bahan-bahan kempen parti-parti gabungan PH dengan alasan hanya foto presiden dan timbalan presiden parti bertanding dibenar dipaparkan pada bahan kempen.

Peraturan baru SPR ini mengundang rasa tidak puas hati parti-parti gabungan PH kerana gambar presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping digunakan secara meluas pada bahan-bahan kempen BN khususnya calon-calon MCA.

Dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Jentera Pilihan Raya PKR Parlimen Selayang pagi tadi, Leong turut membangkitkan rasa tidak puas hati pengundi di kawasan Selayang yang dipindahkan ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Ramai pengundi yang dahulunya mengundi saya kini dipindahkan ke kawasan parlimen Damansara,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyarankan para pengundi terlibat agar memberikan sokongan penuh kepada calon PH di kerusi parlimen Damansara, Tony Pua dan calon PH kerusi Dun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Dalam sidang media yang sama, calon PKR bagi kerusi Dun Rawang, Chua Wei Kiat mendapati buku kerja sekolah yang mengandungi bahan kempen BN diedarkan di sekolah-sekolah milik kerajaan.

Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai tidak adil memandangkan calon-calon PH tidak dibenarkan berkempen di premis sekolah milik kerajaan.

Dalam isu berasingan, jentera pilihan raya PKR Selayang mengesan seorang pengundi di Kuang yang berdaftar sebagai pengundi pos.

“Dia berdaftar sebagai pengundi pos petugas SPR dan pada masa yang sama sebagai pengundi pos pekerja di Hospital Kuala Lumpur,” kata Leong.

7.7
OVERALL SCORE
: 5.0
2 user votes x 9.0
CATEGORIES
TAGS