Malaysia Dateline

2,000 saksi fenomena Gerhana Anulus di Serian

Seramai lebih kurang 2,000 orang dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus di Serian, Sarawak hari ini.

Penolong Kurator Planetarium Sultan Iskandar, Alfean Aziz berkata, sambutan bagi program cerapan Gerhana Matahari Anulus yang berlangsung di Dataran Lepapa Hypermarket Serian amat menggalakkan.

Katanya, antara yang hadir ialah mereka yang berminat dalam bidang astronomi dari seluruh Sarawak serta pelancong luar negara termasuk pelajar-pelajar sekolah dan insitusi tinggi.

“Walaupun keadaan cuaca sedikit mendung di Serian tetapi program cerapan tetap mendapat sambutan dengan kehadiran orang ramai seawal jam 10 pagi,” ujarnya ketika ditemui pada program cerapan Matahari Gerhana Anulus di Serian hari ini.

Jelas Alfean, program tersebut diadakan dengan kerjasama Planetarium Negara bersama-sama agensi-agensi tempatan sempena fenomena Gerhana Matahari Annulus atau pun cincin yang hanya dapat dilihat sepenuhnya di beberapa lokasi di Malaysia seperti Serian, Sri Aman dan Tanjung Piai di Johor.

“Kemuncak Gerhana Anulus berlaku bermula 1.46 hingga 1.50 tengah hari dan ia digelar Gerhana Matahari Annulus disebabkan bentuk cincin akan kelihatan apabila bulan berada di antara bumi dan matahari secara sepenuhnya.

“Manakala fenomena akan berakhir pada jam 3.34 petang,” katanya.

Tambahnya lagi, lintas langsung Gerhana Matahari Annulus yang berlaku di Tanjung Piai, Johor serta fenomena gerhana matahari itu turut diadakan dan dapat disaksikan melalui laman web Planetarium Negara serta media-media sosial.

“Gerhana Matahari Annulus yang terakhir berlaku dan boleh dilihat di Malaysia adalah 21 tahun lalu pada 22 Ogos 1998 yang boleh disaksikan di Mersing, Johor dan sekiranya tidak berpeluang untuk melihat gerhana ini, kita harus menunggu 22 tahun lagi,” kata beliau.