Malaysia Dateline

2018 tahun pertembungan kleptokrasi dengan reformasi, kata MP Batu Gajah

Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar menyifatkan 2018 sebagai tahun pertembungan sengit antara gagasan politik berasaskan kleptokrasi dengan reformasi berikutan pilihan raya umum wajib diadakan pada tahun ini mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Pilihan raya umum ke-13 telah diadakan pada 5 Mei 2013. Oleh yang demikian, tahun ini Dewan Rakyat akan mencapai usia genap lima tahun. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya wajib diadakan setiap lima tahun sekali. Ini bermaksud kita sudah pun sampai ke ambang pilihan raya, kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

“Seluruh rakyat Malaysia malah warga antarabangsa juga turut menunggu untuk melihat pilihan raya yang bakal kita hadapi. Pilihan raya kali ini adalah yang paling sensasi kerana Perdana Menteri Najib Tun Razak dan kuncu-kuncunya daripada Barisan Nasional akan ditentangi oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

“Satu kumpulan sedang berusaha untuk mempertahankan kerajaan kleptokrasi. Manakala satu kumpulan lagi bertungkus-lumus untuk menjatuhkan kerajaan sekarang dan menubuhkan kerajaan baharu di Putrajaya. Siapakah yang akan menang akan ditentukan oleh rakyat jelata yang bakal keluar mengundi pada PRU14 nanti,” kata Timbalan Pengerusi DAP Perak itu.

Kata beliau, bukan mudah untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat yang akan menggunakan segala kekuatan dan wang untuk membeli undi.

“Tambahan pula, permainan politik perkauman akan memuncak kali ini. Jentera kerajaan pula akan dikerah sepenuhnya. SPR yang berada dalam cengkaman kerajaan akan diperalatkan secara maksimum untuk melakukan segala tipu muslihat.

“Pembangkang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam menghadapi PRU14. Yang penting, Pakatan Harapan harus bersedia zahir dan batin untuk bertarung di atas pentas yang tidak sama rata. Inilah sistem yang wujud di negara kita.

“Undang-undang pilihan raya dimanupulasikan untuk menjamin kemenangan pihak kerajaan. Keadilan pilihan raya diketepikan kerana SPR tidak pernah bertindak sebagai badan bebas yang neutral,” kata Sivakumar lagi.

Walau apa sekali pun tambah beliau, jika rakyat bangkit untuk perubahan, tiada kuasa boleh menahannya. Negara kita perlu dilanda Tsunami politik untuk memecahkan benteng-benteng yang dibina oleh kerajaan.

“Jika rakyat bersatu hati, tanpa mengira agama dan bangsa, segala benteng yang menghalang akan termusnah.

“Kuasa rakyat adalah kuasa keramat. Kuasa keramat itu perlu digunakan untuk menyelamatkan negara kita daripada kumpulan kleptokrat yang akan memusnahkannya. Kita tidak mahu negara kita digadai di depan mata,” katanya yang juga merupakan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak.