Malaysia Dateline

2019 : Kerajaan M’sia konsisten selesaikan isu dua hala dengan Singapura

Rentetan peristiwa pada 2019 membuktikan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, adalah dinamik dan kukuh meskipun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan.

Berbekalkan semangat kerjasama, satu siri rundingan berlangsung antara kedua-dua negara dan kemajuan dapat dilihat dalam sesetengah isu.

Dipisahkan dengan jarak kira-kira satu kilometer oleh Tambak Johor, Malaysia dan Singapura kini bekerjasama rapat bagi menyelesaikan beberapa perkara seperti yang berkaitan dengan isu ruang udara, maritim dan Perjanjian Air 1962.

Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, pentadbiran baharu negara turut melihat semula dua projek pengangkutan rel yang menghubungkan Singapura dan Johor Bahru menerusi Sistem Transit Rapid (RTS) dan Singapura-Kuala Lumpur menerusi Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi mengurangkan kos.

PARA PEMIMPIN

Ikatan kukuh antara kedua-dua pihak terbukti apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima undangan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, untuk menghadiri Perarakan Hari Kebangsaan Bicentennial/200 Tahun negara itu pada 9 Ogos 2019.

Wisma Putra berkata lawatan Dr Mahathir melambangkan hubungan erat antara kedua-dua negara yang menikmati hubungan diplomatik selama 54 tahun dan telah mengekalkan hubungan baik sebaik jian terdekat dan rakan kongsi dalam ASEAN.

Dr Mahathir juga berada di sini untuk lawatan rasmi selama dua hari pada November 2018, menyertai sembilan ketua kerajaan lain bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-33.

Sementara itu, Lee berada di Putrajaya pada April 2019 untuk perbincangan di bawah kerangka Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9.

Lee berkunjung ke Malaysia pada 19 Mei 2018 untuk mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Dr Mahathir sebaik sahaja Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan.

PENGANGKUTAN REL

Terdapat kemajuan yang baik berkaitan RTS kerana Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan projek rentas sempadan itu dengan cadangan bagi meminda dan mengurangkan kosnya sebanyak 36 peratus.

Perkara itu diumumkan Dr Mahathir pada 31 Okt 2019 ketika beliau berada di Johor.

Dengan perubahan yang dicadangkan, jumlah kos projek rel sejauh 4 kilometer itu ialah kira-kira RM3.16 bilion berbanding RM4.93 bilion.

Nasib HSR pula akan diketahui menjelang akhir Mei 2020.

Pada 5 Sept 2018, Singapura telah bersetuju menangguhkan pembinaan projek itu sehingga akhir Mei 2020 dengan dokumen perundangan ditandatangani di Putrajaya untuk mengubah Perjanjian Dua Hala HSR berdasarkan persefahaman baharu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perjanjian yang dimeterai itu “jelas menyatakan komitmen kami untuk meneruskan projek berkenaan selepas Mei 2020.”

RUANG UDARA

Semasa Pemukiman di Putrajaya, Dr Mahathir berkata Malaysia merancang untuk mengambil balik ruang udara yang diberikan kepada Singapura secara berperingkat dan berhasrat berbuat demikian dalam tempoh masa bermula dari akhir tahun ini (2019) hingga 2023.

Menegaskan bahawa kedua-dua negara mempunyai “sejarah panjang dalam kerjasama penerbangan,” Dr Mahathir berkata Malaysia telah membuat pelaburan yang ketara dalam persediaan untuk mendapatkan kembali ruang udara itu dan berharap ia dapat dilakukan dengan pantas.

Dalam perkembangan lain, perselisihan berkaitan isu ruang udara timbul pada 23 Nov tahun lepas apabila Firefly berkata ia akan menggantung semua penerbangan ke Singapura mulai 1 Dis 2018 – hari syarikat penerbangan itu sepatutnya memindahkan operasi dari Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia membantah prosedur pendaratan baharu bagi Lapangan Terbang Seletar dan mendakwa bahawa ia bakal mengenakan sekatan ketinggian yang akan menjejaskan pembangunan di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, pada 6 April 2019, Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa berbekalkan semangat kerjasama dua hala, Singapura akan menarik balik prosedur instrumen sistem pendaratan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.

Selepas itu, Firefly menyambung semula penerbangannya ke Singapura mulai 21 April 2019.

MARITIM

Malaysia percaya adalah penting untuk membataskan diri dari semua sempadan maritim yang belum diselesaikan isunya antara kedua-dua negara, dan bukan hanya di kawasan sekitar Had Pelabuhan Johor Bahru berhampiran Tanjung Piai serta Had Pelabuhan Singapura berhampiran Tuas.

Pada 8 April 2019, Malaysia dan Singapura saling menggantung pelaksanaan had pelabuhan masing-masing yang bertindih serta memohon agar ia berkuat kuasa sebelum 25 Okt 2018 dan 6 Dis 2018.

Penggantungan itu adalah berdasarkan satu daripada lima syor dalam laporan Kumpulan Kerja mengenai Isu-Isu Maritim yang menyelubungi isu kedua-dua had pelabuhan bertindih tersebut, yang telah dipersetujui Menteri-Menteri Luar Singapura dan Malaysia pada 14 Mac 2019.

Ia bertujuan bagi meredakan situasi di lapangan dan merintis jalan ke arah persempadanan bagi sempadan maritim.

Kedua-dua pemimpin juga berharap untuk mengadakan Mesyuarat ke-8 Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura berkaitan Pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bagi menyelesaikan isu persempadanan dua hala yang membabitkan sempadan maritim di kawasan itu.

PERJANJIAN AIR 1962

Singapura dilihat telah membuka pintu untuk perbincangan meskipun mengambil pendirian bahawa Malaysia telah kehilangan haknya untuk mengkaji semula harga di bawah perjanjian air itu.

Semasa mesyuarat dua hala pertama mereka di Singapura pada 12 Nov 2018, perjanjian air 1962 adalah antara perkara “kontroversi” masa lampau yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

“Saya fikir saya perlu menyatakan pendirian kita mengenai perkara ini. Saya berpendapat beliau (Lee) adalah seorang yang mudah bertolak ansur. Beliau mendengar pandangan saya dan saya fikir beliau begitu terbuka untuk membincangkan kesemua perkara ini berbanding sebelum ini… sebelum ini mereka hanya menolak semua usaha untuk mengadakan rundingan semula,” katanya.

Semasa Pemukiman itu, kedua-dua pemimpin mencapai kata sepakat bahawa Peguam Negara masing-masing akan bertemu pada November untuk memahami kedudukan perundangan mereka mengenai hak untuk mengkaji semula harga air.

Malaysia menganggap penyelesaian isu kajian semula harga air yang sudah lama tertangguh itu sebagai keutamaan dan telah terlibat dalam rundingan aktif berhubung perkara tersebut pada akhir tahun 1990-an dan awal 2000-an.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962, yang tamat pada 2061, mengkehendaki Malaysia membekalkan sejumlah 250 juta gelen air mentah kepada Singapura setiap hari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli sebahagian daripada air terawat pada harga harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.– BERNAMA