Malaysia Dateline

2019 tahun heret perusuh ganas, hukum pembunuh Adib

“Tiada bicara dapat dititipkan melainkan mendoakan dikau tergolong dalam kalangan syuhada wahai adinda Adib. Semoga pesalah-pesalah yang menyebabkan kematianmu dibawa ke muka pengadilan dengan segera”.

Itu catatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dalam Facebook beliau selepas menziarahi pusara wira negara, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau di Kuala Kedah semalam.

Datuk Dr Ismail Salleh yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah semalam mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa merangkap Naib Presiden AMANAH ke tanah perkuburan itu.

Melangkah ke tahun baharu 2019, semestinya rakyat sedang menantikan perkembangan siasatan kes membabitkan rusuhan ganas dua malam berturut-turut mulai 26 November lalu oleh ekstremis Hindu di di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.

Setakat semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu hanya 10 individu yang gambar mereka pernah didedahkan sebelum ini sudah tampil membantu siasatan kes Adib yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Bakinya lebih 50 individu lagi sedang dikesan pihak polis bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dalam usaha mengesan suspek dalam kes pembunuhan Adib yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu.

Tan Sri Mohamad Fuzi juga menolak dakwaan kononnya ada laporan bedah siasat awal menyatakan kematian Adib (28 Mei 1994 – 17 Disember 2018) akibat dihimpit objek besar.

Beliau juga menegaskan adalah penting untuk pihaknya menunggu laporan penuh bedah siasat kes bunuh Adib dari Jabatan Forensik dan Patalogi, Hospital Kuala Lumpur, sebelum penyebab utama kematiannya dikenal pasti.

Terdahulu pada 24 Disember, Presiden Persatuan India Malaysia M Manimaran, 38, dan lima lelaki lain didakwa menghalang tugas polis, merusuh di hadapan kuil dan mendatangkan kecederaan parah terhadap orang awam, Sulaiman Abdullah, 32.

Bagaimanapun, Manimaran mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di hadapan kuil itu jam 12.30 tengah hari dan 1.30 petang pada 26 November lalu.

Kes Adib juga dilihat mengundang reaksi banyak pertubuhan Melayu Islam. Bermula pada 21 Disember lalu dengan aksi himpunan anjuran gabungan NGO Ummah yang berarak dari Masjid Putra hingga ke Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Seterusnya, himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni Klang dengan peserta berarak sejauh 400 meter dari Masjid Bandar Diraja Klang selepas solat Asar.

Sempena tahun baharu 2019 ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentunya tidak mahu melihat nasib menimpa Adib dieksploitasi pembangkang meskipun kita juga semua mesti menginsafi hal berkaitan nyawa merentas fahaman politik kepartian dan sentimen perkauman.

Jaminan bahawa dalang kepada rusuhan ganas di kuil yang didakwa berusia lebih 100 tahun di atas tanah milik syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd itu sudah pun ditegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 November lalu.

Perdana Menteri sudah bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dalam insiden yang berunsur jenayah itu malah menyifatkan serangan terhadap Adib mempunyai niat untuk membunuh.

“Jika kita dapat kesan siapa yang bertanggungjawab saya fikir Peguam Negara perlu membina kes terhadapnya,” kata Dr Mahathir kepada media selepas menziarahi Adib di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 28 November lalu.

Jangan tunduk

Bukan semua orang mempunyai keberanian tinggi untuk layak menjadi anggota bomba. Bukan semua anak muda  sanggup mempertaruhkan nyawa walaupun atas faktor kerana sumber pendapatan.

Pada 22 Disember lalu misalnya, anggota bomba sanggup bergayut turun dari tingkat paling atas sebuah hotel di Persiaran KLCC menyelamatkan dua pekerja pencuci bangunan yang tersangkut di tingkat 33!

Tarikh sama juga di Klang, anggota bomba sanggup merempuh asap tebal menyelamatkan wanita warga emas berketurunan India berusia 70-an dengan memecahkan jeriji tingkap bilik rumah yang kemudiannya terbakar 80 peratus.

Petang 21 Disember pula, bomba menyelamatkan seorang budak lelaki yang sebahagian kaki kirinya hampir sejam tersepit dalam lubang aliran air pada longkang kecil di rumahnya.

Namun, pemergian Adib selepas 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah di dada termasuk kecederaan pada tulang rusuk dibelasah perusuh ganas bukti bomba bukan sahaja perlu berani berdepan dengan api. Bahkan, anggota bomba terpaksa memperjudikan nyawa daripada menjadi mangsa disambar api perkauman.

Justeru, nasib Allahyarham Adib mesti dibela. Mereka terbabit mesti dikenakan hukuman setimpal termasuk peguam kepada pemaju yang memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh kuil.

Hasrat ibu Adib, Asma Aziz, 51, untuk melihat muka-muka kejam membelasah anaknya yang sepatutnya menikah Jumaat, 21 Disember lalu mesti menjadi kenyataan.

Sikap ekstremis, ganas dan rasis terserlah apabila perusuh sanggup menyekat pergerakan trak FRU, menghalang kereta peronda polis, merosakkan kereta awam, memukul dua belia Melayu bermotosikal, menyerang kenderaan bomba dengan membaling kayu dan besi dengan kemuncaknya membelasah Adib sehingga tulang rusuk tertusuk paru-paru.

Sehubungan itu, suka atau tidak, demi keadilan buat Adib juga, kuil di USJ 25 itu dan mana-mana kuil haram di seluruh Selangor dan seluruh negara mesti dirobohkan.

Rakyat era Malaysia Baru mesti diajar nilai prinsip Rukun Negara – Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang. Masyarakat India yang menganut Hindu khususnya mesti mencontohi sifat tolak-ansur orang Melayu dan tegas diingatkan tentang Kesopanan dan Kesusilaan.

Mendirikan tempat ibadat mesti di atas tanah yang sah. Menteri Besar Selangor dan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) jangan angguk tunduk pada tekanan ekstremis kaum dan agama sehingga melanggar undang-undang.

Negeri-negeri lain pun perlu menguatkuasakan peraturan berkaitan pembinaan rumah ibadat. Malaysia Baru tentunya tidak mahu nasib yang menimpa Adib berulang lagi pada masa depan.