Malaysia Dateline

2020: AMANAH penyebar risalah kesederhanaan

Menjengah angka lima tahun penubuhannya, AMANAH terus bernafas di tanah air tercinta atas dasar kesederhanaan yang diamalkan.

AMANAH juga menjalin kerjasama politik yang erat bersama-sama rakan komponen Pakatan Harapan (PH).

Tidak keterlaluan dikatakan, AMANAH sebuah parti politik berteraskan Islam moderat yang sudah matang dan stabil dalam berhadapan suhu suasana politik Malaysia yang kian panas sekarang.

Ia mahu dinamakan dengan nilai tertinggi sesebuah perjuangan dan memilih nilai amanah sebagai nama yang diberi kepada parti yang digelar “parti nyamuk” ini.

Kejayaan AMANAH menjadi tunjang kepada kerajaan PH yang memerintah hari ini apabila telah membuktikan kewibawaan dan kekuatannya mampu berada seiring parti yang bernuansakan Islam iaitu Pas dan parti yang menjadi kerajaan buat sekian lama iaitu Umno.

Jelas, peranan AMANAH yang dipimpin Tuan Haji Mohamad Sabu amat besar sekali dalam menjayakan agenda Pakatan Harapan untuk mengambil tampuk pemerintahan dari penguasa zalim Barisan Nasional (BN).

AMANAH mencatat kejayaan tersendiri apabila gagasan Rahmatan Lil Alamin mendasari pentadbiran kerajaan selepas diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober 2019.

Perjalanan parti ini sudah pasti berhadapan pelbagai onak duri sementelah memegang tampuk kuasa yang sudah dikecapi.

Hanya suara lantang dan desakan aktivis parti senantiasa menjadi semak imbang untuk sebahagian pimpinan AMANAH yang mungkin sudah dibuai mimpi indah. Maka, bahtera AMANAH ini terus diharap agar dikemudi pada laluan yang tepat walaupun dibadai ombak dan taufan.

Mesej yang jelas juga ditunjukkan oleh ahli AMANAH ketika pemilihan, bahawa pimpinan yang hanya lantang di media sosial dan tidak pandai berpolitik telah dinyahkan secara harmonis sekali.

Terserlah kecerdikan ahli AMANAH yang berfikir panjang demi masa depan parti apabila memilih pimpinan yang berkemahiran tinggi dan mempunyai wawasan jelas.

Suara akar umbi AMANAH juga mahukan pimpinan yang mampu menyantuni segenap lapisan masyarakat. Itulah syarat utama dalam membimbing sebuah parti muda yang sarat dengan idea-idea segar dan baru ini.

Malah, keberdayaan AMANAH untuk menarik perhatian rakyat Malaysia adalah amat membanggakan. Konvensyen yang lalu jadi buktinya apabila berlangsung serentak dengan mesyuarat tahunan dua parti lain yang lebih ramai ahli iaitu Mesyuarat Agung Umno dan Kongres PKR.

Kebolehan AMANAH untuk menarik perhatian rakyat menunjukkan parti ini telah berjaya menempatkan diri dalam posisi penting di arena politik negara.

Amalan politik sederhana dan bersifat rahmah antara satu sama lain telah berjaya menempatkan AMANAH sebagai parti yang berupaya untuk menjalin kerjasama politik dengan sesiapa sahaja yang mampu membawa nilai-nilai moderat dan berkebajikan dalam suasana politik hari ini.

Dengan meyakini Rahmatan Lil Alamin sebagai gagasan besarnya, AMANAH yakin dengan keperluan kesepakatan Pakatan Harapan dan menggalas amanah besar mengisi tampuk pemerintahan Malaysia dengan citra Malaysia Baru.

Nilai yang dibawa dalam alam realiti kenegaraan parti tercinta ialah progresif, peduli dan inklusif selaras dengan keberanian ahli menampilkan pimpinan muda yang progresif.

AMANAH juga menonjolkan kepedulian kepada rakyat malah kebebasan ahli AMANAH untuk mengkritik pimpinan secara terbuka jelas menepati ciri inklusif yang dibawa dalam menganuti nilai parti bernuansakan Islam ini.

Akhir kalam, diharap AMANAH terus menyebarkan risalah kesederhanan dalam politik ketika suasana yang penuh ekstrem berkumandang di bumi Malaysia.

Gerak kerja yang progresif dalam menonjolkan sifat kepedulian AMANAH wajar dipergiat di seluruh kawasan agar idea-idea segar kita dapat menerobos tembok pemikiran orang Melayu Islam.

AMANAH merupakan parti yang mempunyai masa depan cerah untuk bertapak kukuh di negara ini. Wajar disemat dalam minda kita, AMANAH lahir daripada kesedaran islah dan tajdid bagi memastikan agenda politik dakwah dalam atmosfera demokrasi negara terus diposisikan di tempat sewajarnya.

AMANAH bukan tamakkan kuasa dan taksub pada pemimpin. Sebaliknya, jika tersasar, AMANAH mampu berkecai begitu sahaja dek kerana bermatlamatkan kuasa dan harta yang hanya melalaikan kita semua.

Pemilihan AMANAH akhir tahun lalu berlangsung lancar tanpa konflik.

 

*Penulis merupakan Jawatankuasa Mahasiswa AMANAH Nasional. Kini menuntut di Semester 2 Fakulti Komunikasi Pengajian Media, UiTM Shah Alam.