Malaysia Dateline

2020: Bersediakah AMANAH Sarawak?

Lusa seluruh penduduk di muka bumi ini akan menyambut tahun baru 2020.

Pejam celik…pejam celik, rasanya masa terlalu cepat beredar dan berputar meninggalkan kita.

Namun topik yang bakal menjadi tumpuan menjelang 2020 nanti ialah sudah semestinya ‘peperangan’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan datang.

Mengikut perkiraan, Dewan Undangan Negeri (Dun) sekarang ini akan tamat tempohnya selewat-lewatnya Mei 2021.

Tetapi pelbagai spekulasi mula kedengaran berkaitan pembubaran kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun, itu hanya sekadar cakap-cakap politik dan sesekali boleh dijadikan panduan berdasarkan fakta yang diungkapkan.

Kali terakhir PRN di Sarawak iaitu yang Ke-11 ialah pada 7 Mei 2016.

Justeru, kerajaan sedia ada masih memiliki setahun lebih sahaja untuk menamatkan hayat pemerintahannya mengikut sistem demokrasi perlembagaan di Malaysia.

Tetapi, sebagai sebuah parti yang belum berjaya memenangi sebarang kerusi dalam komponen Pakatan Harapan (PH) pada PRN11 lalu, adakah AMANAH Sarawak mampu merealisasikan impian dan misi meraih kemenangan pada PRN12 nanti.

Dimaklumkan, AMANAH Sarawak telah diperuntukkan sebanyak 13 kerusi menerusi konsensus dalam PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pada PRN11.

Namun, pada PRN12 nanti, kehadiran Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang telah pun ditubuhkan di negeri turut akan meletakkan calon.

Lantas, adalah dijangka akan berlaku konsensus pembahagian kerusi antara empat parti iaitu PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu bagi memburu misi ‘menawan’ Sarawak kelak.

Bagi AMANAH Sarawak, PRN12 merupakan ‘pertempuran’ kedua parti ini dalam percubaan untuk mencipta kemenangan sekali gus mempunyai wakil di Dun Sarawak.

Antara kerusi yang bakal dipertaruhkan untuk calon-calon AMANAH Sarawak ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingian.

Maka untuk mencapai misi kejayaan itu, AMANAH Sarawak akan menggerakkan jentera dengan menubuhkan lima Kluster Teras bagi menghadapi PRN12 nanti.

Kluster Teras tersebut ialah Politik dan Pilihanraya, Sekretariat dan Organisasi, Komunikasi dan Penerangan, Kebajikan dan Hubungan Seranta serta Tugas-Tugas Khas dan Kewangan.

Ia merupakan jawantankuasa yang bakal berdepan tugas berat bagi membuat persediaan menghadapi PRN12.

Di atas kertas segalanya nampak cantik, tetapi apakah ia mampu diterjermahkan sebaik mungkin lebih-lebih lagi dalam keadaan masa peperangan yang semakin hampir.

Bukan menidakkan perancangan tetapi yang penting adalah pelaksanaan dan tindakan secara berskala.

Strategi ini amat penting kerana pengundi sentiasa mahu didekati dan bukannya sekadar datang atau berjumpa apabila tiba musim pilihan raya.

Ini kerana, rakyat amat bijak menilai pilihan mereka demi masa depan generasi akan datang.

Walaupun belum memiliki ‘track record’ mewakili kerusi Dun di negeri ini, sesungguhnya peranan Parti AMANAH Negara di Sarawak amat dinanti-nantikan pengundi, penyokong dan rakyat keseluruhannya.

Faktornya ialah AMANAH adalah parti yang membentuk kerajaan di persekutuan sekali gus mampu membawa suara rakyat Sarawak di Putrajaya.

Dan sesungguhnya, rakyat Sarawak begitu dahagakan pembangunan terutamanya di luar pedalaman yang jauh ketinggalan dari segi infrastruktur jika dibandingkan taraf kemudahan di kawasan bandar.

Semoga, 2020 akan memberi sinar kepada AMANAH Sarawak untuk memperkuatkan parti dalam memperjuangkan nasib rakyar di Bumi Kenyakang.