Malaysia Dateline

2020 menuntut pembuktian kepimpinan dalam berparti dan berkerajaan

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan 2020 adalah tahun pembuktian kepimpinan sama ada dalam berparti atau berkerajaan.

Kata beliau, tahun 2020 adalah penting untuk masa depan kerjaya politik beliau, parti AAMANAH, Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan PH itu sendiri.

“Bagi peribadi saya sendiri, tahun 2020 adalah tahun yang menuntut pembuktian kepimpinan dalam berparti dan berkerajaan.
“Ruang masa yang ada adalah untuk menterjemah segala janji dan harapan, memenuhi segala tanggungjawab dan mengubah persepsi negatif yang sentiasa dibina oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap apa jua pembaharuan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan kepada pemikiran yang lebih positif.

“Saya juga akan berusaha dan akan terus melangkah ke hadapan bagi menterjemahkan kemahuan dan harapan rakyat,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, bagi tahun 2019 yang berlalu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan.

“Dari bertatih saya tidak takut lagi untuk berlari. Kini saya semakin tabah dan berani membuat keputusan penting di saat-saat yang mendebarkan.

“Saya masih di sini untuk terus berdiri dan berlari bagi memahat arca perjuangan yang masih belum selesai,” katanya.