Malaysia Dateline

2020: Semua pihak tidak lagi perdebatkan isu peralihan kuasa, saran penganalisis

Tahun 2020 dianggap sebagai tahun kritikal bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan kemampuan pimpinan mereka dalam mentadbir negara dan seterusnya merealisasikan naratif Malaysia Baharu.

Lebih-lebih lagi apabila tahun 2018 dianggap sebagai tahun percubaan, yang membuatkan rakyat banyak bertolak ansur dengan memberi harapan bahawa 2019 akan membawa kepada perubahan yang lebih baik.

Azmi Hassan

Namun begitu, Penganalisis politik,  Azmi Hassan, berkata, 2019 telah menyaksikan beberapa urusan negara terkebelakang akibat dari persengketaan dalaman parti komponen PH terutama sekali berkait dengan jawatan Perdana Menteri.

Justeru beliau meminta agar pada tahun 2020, setiap parti komponen PH perlu menghentikan polemik pengganti Tun Dr Mahathir oleh kerana isu tersebut disifatkan sebagai bukan sahaja bosan disaksikan rakyat tetapi telah membantutkan urus tadbir negara.

“Jika sebelum ini dasar yang diperkenalkan kerajaan begitu lemah dan tidak popular, selepas ini menteri perlu pastikan setiap keputusan dasar yang akan dibuat telah melalui proses saringan analisis supaya tidak berlaku lagi kes dasar yang sudah diumumkan, kemudian ditarik kembali perlaksanaannya.

“Kerajaan PH pada 2020 ini perlu buktikan mereka adalah setanding atau pun mempunyai kelebihan mentadbir dan mengurus negara berbanding kerajaan Barisan Nasional.

“Tiada isu mengenai kerajaan PH adalah lebih telus berbanding BN, tetapi yang ada hanyalah masalah mengenai kompetensi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Justeru katanya yang juga Pakar Geostrategik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), 2020 merupakan tahun terpenting bagi PH demi membuktikan persepsi serong kelemahan PH hanyalah sebagai persepsi semata-mata.

Sekiranya ia tidak dipulihkan, beliau berkata, kesan 2020 akan dibawa sehingga mempengaruhi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) yang akan datang.

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib

Sementara itu, hal yang sama juga diutarakan oleh penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, yang berpandangan kestabilan parti kerajaan perlu diberikan perhatian serius.

Katanya, isu peralihan kuasa merupakan perkara asas yang perlu diberikan penumpuan oleh kerana isu tersebut hanya menjadikan negara berada dalam keadaan tidak stabil.

“Kebimbangan penjawat awam dan korporat termasuk peniaga-peniaga serta pelabur, akan membawa kepada kurangnya minat dalam mengaplikasikan dasar serta membantutkan agenda potensi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa UUM itu, turut menekankan tentang perlunya kerajaan berusaha membaik pulih prestasi nilai matawang ringgit yang seolah-olah terapung di ‘zon nilai’ yang tidak wajar.

Jelasnya, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia bukan sahaja perlu dibandingkan dengan dolar US, tetapi yang paling utama adalah membabitkan sesama matawang serantau.

Ini kerana katanya, ia menyumbang kepada faktor kenaikan harga barangan keperluan harian import termasuk barangan asasi kehidupan rakyat.

“Keselesaan kos hidup perlu dijadikan manifesto keutamaan kerajaan. Berikan tumpuan sepenuhnya dalam menjana kaedah bagi keselesaan hidup asasi rakyat dari segi pendapatan, pertumbuhan gaji dipelbagai sektor, pemantapan harga barang keperluan dan juga aspek merendahkan kos kritikal seperti kesihatan dan pendidikan serta kos memiliki rumah sendiri.

“Ini semua penting kerana kita belum mempunyai rakyat yang berpendapatan tinggi secara menyeluruh, jadi aspek kehidupan bandar dan desa harus menjadi keutamaan negara,” ujarnya.