Malaysia Dateline

2021 : AMANAH yang rahmah

Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara telah melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Pelbagai pandangan dan reaksi perwakilan terhadap ucapan pidato yang telah disampaikan oleh Presiden AMANAH sendiri YB Tuan Hj Mohamad Sabu. Dalam kesibukan perwakilan membangkitkan persoalan hala tuju yang ingin AMANAH bawa dalam konteks persepakatan politik termasuk isu ‘Grand Coalition’, para perwakilan juga tidak ketinggalan dalam mengingatkan pimpinan agar memperkukuhkan nilai perkaderan ahli AMANAH.

AMANAH melalui Biro Pembangunan Sumber Manusia dibawah pimpinan YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang bergandingan dengan YB Speaker Tuan Suhaizan Kayat telah menyusun langkah membina modul-modul asas yang wajar ditekuni oleh ahli-ahli AMANAH. Ditempat konvensyen berlangsung, selain banner mempromosikan sayap termuda dalam AMANAH iaitu WARDA berada disitu, satu banner yang memaparkan 7 ciri-ciri rahmah yang perlu disemai dalam ahli AMANAH juga terdapat disitu. Ia menarik perhatian penulis untuk menghuraikan 7 ciri ini bagi pandangan penulis. Mari kita lihat 7 ciri-ciri tersebut.

AMANAH

Ciri amanah merupakan ciri utama yang diketengahkan oleh Parti Amanah Negara dalam melahirkan ahli-ahlinya. Ciri ini bukan sekadar menjadi nama kepada parti tersebut, namun yang paling penting ia merupakan ciri paling asas yang perlu dimiliki oleh seorang insan mahupun sebagai seorang ahli politik. Buktinya, kita sebagai manusia yang dilahirkan dimuka bumi ini sejak dalam rahim ibu kita pun telah diberikan amanah oleh yang mencipta kita. Lahirnya kita di dunia ini memikul amanah dari tuhan sebagai hambanya.

Setiap hari kita harus menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita seperti menunaikan solat, berpuasa dan mengeluarkan zakat. Kedua, amanah kita sebagai anak mahupun sebagai ibubapa. Kita harus akui bahawa anak mahupun ibubapa mempunyai amanah yang perlu mereka tunaikan. Jika gagal melaksanakan amanah kita sebagai anak mahupun ibubapa, ia menjadi kegagalan dalam hidup termasuk memusnahkan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Seterusnya, seiring dengan kewujudan negara bangsa, kita dibebankan dengan amanah sebagai warganegara iaitu Malaysia. Rakyat yang telah mempunyai kewarganegaraan sesebuah negara bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang dirasakan baik untuk memimpin. Kemudian, ia harus menjadi warganegara peka terhadap keamanah negara. Namun, ada per

bezaan antara warganegara biasa iaitu rakyat dengan pemimpin kepada warganegara ini iaitu wakil rakyat. Setelah warganegara ini dipilih sebagai wakil rakyat melalui pilihan raya mahupun lantikan, ia harus menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat. Tidak dapat dinafikan, peruntukan yang banyak buat semua wakil rakyat ini adalah untuk memberi kemudahan kepada wakil rakyat membantu rakyatnya. Bererti, ia perlu mengotakan amanahnya sebagai pemimpin sehabis baik tanpa menyeleweng sebarang sumber sebagai habuan. Akhirnya, wakil rakyat ini mempunyai amanah untuk memimpin rakyatnya keluar dari kemiskinan, kejahilan dan kesensaraan hidup. Ini amanah yang dipikul oleh setiap manusia.
Oleh itu, AMANAH bercita-cita melahirkan ahlinya yang sentiasa menjaga amanah yang diberikan dan pantang sekali mengkhianati amanah tersebut.

PROGRESIF

Ciri kedua ialah progresif. Merujuk kepada kamus bahasa, progresif bermaksud maju, berkembang dan ada peningkatan. Oleh itu dalam konteks AMANAH, ia mahu melahirkan ahli yang bersedia menimba ilmu baru dan membina pengalaman baru agar sentiasa menjadi lebih baik dari sedia ada. Memandangkan keadaan dunia yang begitu pantas beribuh akibat ledakan teknologi baru dan fenomena globalisasi, maka ahli AMANAH khususnya perlu bersedia mengambil ilmu-ilmu baru untuk diperkemaskan dalam diri masing-masing.

Ia bagi memastikan ahli AMANAH dan parti itu sendiri sentiasa berada dihadapan dalam mendepani pelbagai isu terkini yang timbul dalam masyarakat. Contohnya, AMANAH perlu menjadi parti politik yang mesra digital kerana ia keperluan masa kini. Lihat bagaimana YB Tuan Adly Zahari, ADN Bukit Katil telah melancarkan platform digitalnya sebagai medan untuk rakyatnya membuat aduan. Lebih membanggakan ia merupakan yang pertama di Malaysia. Ilmu-ilmu ini memerlukan penelitian dan peranan utama Biro Strategi AMANAH untuk memperkenalkan kepada ahlinya.

PEDULI

Ciri seterusnya yang ingin AMANAH lahirkan kepada ahli-ahlinya ialah peduli. Dalam konteks AMANAH, ia perlu melahirkan ahli yang sentiasa mempedulikan apa yang berlaku kepada kehidupan. Misalnya, pemimpin dalam AMANAH mahupun yang dipilih sebagai wakil rakyat hendaklah peka kepada permasalahan yang wujud dalam kalangan rakyat. Rakyat itu pula perlu dibantu tanpa mengira kelas ekonomi mereka, asal-usul kaum dan agama mereka serta jantina mereka. Selain itu, ahli AMANAH bukan saja mempedulikan nasib rakyat semata-mata, dalam masa yang sama peduli tentang keadaan alam sekitar yang menjadi ancaman utama negara kita. Kepedulian ahli AMANAH kepada kelestarian bertepatan dengan tujuan Allah SWT memilih manusia sebagai khalifah muka bumi iaitu mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini. Berpaksikan tujuan ini, AMANAH bukan hanya parti kemanusian malah ia parti yang menyeimbangkan kemanusian dan alam sekitar.

Akhirnya, ciri peduli ini akan mendorong ahli AMANAH mempedulikan nilai dunia dan akhirat yang berdasarkan firman Allah SWT, bahawa ia perlu diseimbangkan agar kita mendapat kejayaan yang abadi. Contohnya, ahli AMANAH perlu peka terhadap isu yang melanda negara kita seperti kartel daging tidak halal. Ia merupakan satu permasalahan ummah yang mampu merosakkan imej Islam apabila makanan tidak halal dimakan oleh orang Islam. Persoalan halal dan haram ialah isu dari sudut akhirat. Dari sudut keduniaan pula, kegiatan rasuah yang menyebabkan kartel daging tidak halal ini berlaku akan menghancurkan seluruh struktur ekonomi dan masyarakat. Gagallah sebagai seorang muslim yang tidak peka kepada masalah sekeliling walaupun bergelar pemimpin parti Islam.

MUAFAKAT

Muafakat merupakan ciri keempat yang ingin diterapkan dalam ahli AMANAH. Muafakat merujuk kepada gerak kerja dalam sebuah kumpulan bagi mencapai matlamat. AMANAH mahu melahirkan ahlinya yang berpegang kepada prinsip bekerja dengan cara bermuafakat. Huraiannya, tiada seorang pun ahli AMANAH yang perlu dijulang tinggi melangit sebagai pemimpin mahupun menjulang seseorang sebagai pemimpin. Sebaliknya, AMANAH bergerak sebagai parti yang mempunyai pemimpin secara kolektif dengan pelbagai kelebihan masing-masing. Oleh itu, istilah ‘one man show’ tidak ada dalam kamus gerak kerja parti AMANAH.

AMANAH mengaplikasikan ciri ini apabila AMANAH sering kali menegaskan bahawa kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ialah dengan cara muafakat semua parti pembangkang termasuk NGO. Lihatlah kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada PRU ke-14 adalah hasil tumbukan ampuh parti pembangkang bersatu dibawah PH. Dengan cara muafakat, kita mampu menyelesaikan pelbagai masalah besar yang timbul.

ADIL

Istilah adil ini sangat popular sejak Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan UMNO. Adil merupakan kata lawan bagi zalim. Oleh itu, AMANAH hendaklah mempunyai segerombolan ahli yang adil dalam setiap tindakan dan pemikirannya. Jangan sekali berlaku zalim kepada diri sendiri, orang sekeliling mahupun agama. Adil dalam definisi Islam ialah meletakkan sesuatu yang tepat pada tempatnya, berbeda dengan adil dari fahaman barat iaitu kesemuanya sama rata. Oleh itu, ahli AMANAH itu adil dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin khususnya sebagai pentadbir negara.

Menghuraikan konsep adil dalam pentadbiran mahupun kepimpinan, ia pasti menentang arus apabila seorang pemimpin tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang akibat pelanggaran SOP. Sebaliknya, rakyat marhaen yang susah dan miskin terus dikenakan tindakan undang-undang apabila didapati bersalah. Ini adalah satu bentuk kezaliman (baca: tidak adil) yang dilakukan oleh pemimpin itu sendiri. Semacam ada dua peraturan yang dilaksanakan, iaitu kepada rakyat dan kepada pemimpin. Lebih malang jika ia dilakukan oleh pemimpin parti Islam.

SEDERHANA

Setiap kecenderungan dan tindakan manusia perlulah mengambil jalan tengah. Ia merujuk kepada setiap sesuatu itu perlulah sederhana dan tidak melampaui batas. Oleh itu, AMANAH mahu melahirkan ahlinya yang bersederhana (wasatiy) dalam setiap tindakannya. Elemen demokrasi yang dipacu oleh barat diamalkan di Malaysia, ia dilihat mampu membangunkan sebuah negara berbanding sistem lain. Namun harus diingat jika ia mengambil jalan ekstremis dalam berpolitik (baca: fanatik parti), ia mampu menghancurkan kesepaduan sebuah negara. Perlu diingati bahawa politik adalah semata-mata gelanggang untuk memimpin, parti pula merupakan jenteranya. Oleh itu, diluar politik ia perlu bertaut sebagai sesama manusia. Jika tidak bersederhana dalam berpolitik ia mampu membawa kepada perpecahan.

Dari konteks agama, Islam tidak mengajar umatnya untuk bersifat ekstremis. Nilai itu mampu mencalarkan imej Islam sebagai agama yang tidak memaksa. Lebih merbahaya lagi jika ektremis ini boleh membawa kepada perbuatan takfiri (baca: mengkafirkan orang lain). Ia sesuatu mudarat besar kepada agama kita jika berlaku. Namun, setelah bertahun-tahun kumpulan musuh telah ditakfirikan, tiba-tiba ia menjadi Islam semula atau halal semula untuk bergabung. Ini kelucuan dalam berpolitik. Sebab itu AMANAH berpandukan firman Allah SWT mengajurkan agar kita tidak melebih-lebih dalam setiap tindakan kita.

INKLUSIF

Pertembungan antara aliran pemikiran moderat dan konservatif dalam PAS telah mencetuskan perbalahan yang dasyat. Disebabkan itu juga, AMANAH ditubuhkan. Oleh itu, penulis berpandangan AMANAH perlu menjadi inklusif yang mengumpulkan pelbagai pemikiran dan fahaman dengan syarat tidak melanggarkan syariat agama. Golongan moderat yang memimpin AMANAH bersedia menerima ahlinya yang konservatif atau pelbagai, kerana AMANAH inklusif iaitu untuk semua. Pelbagai latar belakang boleh berada dibawah payung AMANAH, ia tidak ditindas sama sekali. Walaupun AMANAH merupakan parti Islam yang bersikap moderat, tetapi ia menerima bukan Islam sebagai ahli. Ini merupakan jambatan utama yang menghubungkan Islam dan bukan Islam.

Maka AMANAH mahu melahirkan ahli yang inklusif kepada setiap aspek dan peringkat. Sesiapa sahaja boleh bersama AMANAH, jika mahu melihat Islam yang rahmah, ia ada didalam AMANAH. Bertentangan jika Islam itu dilihat eksklusif, semacam ada tembok antara Islam dan bukan Islam. Dari situlah, bermulah sangka buruk antara agama dan lebih memburukan keadaan, Islam tidak mampu berdakwah kepada orang bukan Islam.

Kesimpulannya, inilah 7 ciri-ciri yang perlu ada dalam diri ahli AMANAH. Ia dipanggil rahmah kepada semua. AMANAH akan memulakan tahun 2020 ini dengan menerapkan nilai RAHMAH ini kepada semua ahli termasuk pimpinan. Semoga dengan huraian ini, mampu memberi panduan untuk ahli AMANAH memulakan langkah mengukuhkan idealisme perjuangan mereka dalam parti. Ciri ini perlu disemat dalam diri sama ada kamu ahli biasa mahupun pemimpin.