2021: DAP terus berusaha perjuangkan isu rakyat

Oleh ARIF ATAN

Jika boleh disimpulkan keseluruhan tahun 2021 dalam satu ayat, ia boleh diibaratkan sebagai ‘satu tahun yang berliku-liku’.

Tahun ini pastinya telah menguji kehidupan rakyat Malaysia yang terpaksa menempuhi pelbagai cabaran ekoran penularan pandemik, bencana alam, ketidakstabilan politik dan kelembapan ekonomi.

Dari perspektif DAP sebagai sebuah gerakan politik pula, tahun 2021 menyaksikan parti tersebut terus proaktif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang terjejas.

DAP sebagai pembangkang terus giat menyuarakan isu-isu rakyat tanpa mengira latar belakang demi memastikan adanya mekanisme semak dan imbang di negara ini.

Di Parlimen, DAP memainkan peranan semak dan imbangnya dengan mengangkat isu-isu dan masalah-masalah rakyat agar ia dapat diselesaikan segera oleh kerajaan.

Untuk pembukaan 2021, kita telah menyaksikan komitmen DAP dalam membantu mangsa banjir.

Dalam memastikan masyarakat yang terjejas akibat banjir ini dapat meneruskan hari-hari mereka, meringankan beban setelah kemusnahan harta benda dan memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, wakil-wakil rakyat DAP pantas menghulur bantuan sewajarnya.

Di Johor, Pahang dan beberapa kawasan lain, wakil-wakil DAP bertungkus-lumus memastikan urusan mangsa-mangsa banjir dipermudahkan.

Selain itu, DAP amat vokal dalam mengkritik ketidakcekapan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) mengurus negara.

1. Lantang kritik penggantungan Parlimen

DAP lantang menggesa pembatalan penggantungan Parlimen bagi memastikan Kerajaan PN dapat didesak untuk memastikan langkah-langkah kewangan segera dapat diwujudkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Januari 2021.

2. Bersuara isu kartel daging

Wakil-wakil DAP turut menggesa Kerajaan PN mengambil sikap yang serius dan proaktif dalam menangani isu kartel daging bagi memastikan ia tidak berulang lagi pada masa hadapan.

3. Ordinan Darurat : DAP kecam pengenaan hukuman berat

DAP mengecam pengenaan hukuman berat dan peruntukan kuasa yang terlalu luas berkenaan ‘berita palsu’ yang berkaitan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No.2) 2021 yang mula berkuat kuasa pada 11 Mac 2021.

Jika mahu disenaraikan, terlalu banyak usaha dan gerak kerja telah dilakukan oleh wakil-wakil DAP untuk memperjuangkan isu-isu rakyat.

Dalam masa sama, DAP juga konsisten tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat daripada kalangan pemimpin UMNO – yang kebanyakannya menghadapi kes rasuah di mahkamah – dalam pilihan raya umum akan datang.

Dan untuk penutup 2021, kita juga telah menyaksikan komitmen DAP dalam membantu mangsa-mangsa banjir besar di beberapa kawasan termasuk di Lembah Kelang dan Pahang.

Kita menyaksikan wakil-wakil DAP membantu mangsa-mangsa dan bersama bergotong royong meringankan beban mereka.

Memandang ke hadapan, diharapkan pengalaman menempuhi 2021 dapat dijadikan pengalaman berharga dalam menghadapi pula tahun 2022 yang penuh dengan ketidaktentuan.

Pastinya pada tahun depan. wakil-wakil DAP akan terus memainkan peranannya dalam memperjuangkan untung nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.