Melihat kepada situasi yang berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda 2 tahun lalu, kerisauan mula menjengah masuk ke dalam pemikiran penulis. Dulunya penulis sentiasa memikirkan soal masa depan anak bangsa ketika negara masih dalam keadaan stabil dan aman. Ketika itu pun penulis masih merasa risau. Namun kali ini, apakah tahap risau penulis apabila sistem pendidikan menjadi lumpuh kerana munculnya Covid-19 dan bencana-bencana lain.
Dalam keadaan negara serba tempang kerana negara perlu berkurung demi mengelakkan Covid-19 singgah dan membunuh lebih banyak rakyat Malaysia, kesan buruk yang harus diterima apabila sistem pendidikan juga tidak mampu diteruskan lagi dalam keadaan serba tak menentu sekarang. Jika Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan sekolah dibuka dan sistem pendidikan dipulihkan sekalipun, ia tetap ada cacat celanya kerana kesan penutupan sekolah dan Covid-19 yang masih berada dalam hidup kita.
Dalam tempoh yang mencabar ini (2020 & 2021) lebih banyak kelompongan yang kelihatan berbanding pemulihan secara keseluruhan yang dibuat oleh pihak KPM. Banyak yang boleh ditimbulkan oleh penulis berulang kali dalam tulisan sebelum ini, lihat sekali imbas, bagaimana celarunya proses PdP anak-anak semasa mereka perlu memulakan sesi persekolahan ketika PKP dikuatkuasakan? Dari kecelaruan itu, berapa ramaikah murid yang tercicir sepanjang tempoh PdP secara dalam talian sehingga mereka sekolah bersemuka? Apabila sudah mula bersemuka, dapatkah kita menilai sejauh mana keberkesanan PdP secara dalam talian terhadap perkembangan pengetahuan anak-anak?
Semua ini tidak mampu dijawab secara tuntas dan jitu oleh pihak KPM termasuk YB Menteri Kanan Pendidikan yang disambung khidmatnya (mengangkat sumpah sebagai MKP dalam kabinet PM ke-9 & dipilih semula sebagai Ahli Dewan Negara buat penggal kedua). Lebih mendukacitakan, isu yang sedikit-sedikit dijawab bukanlah isu pokok yang perlu dijawab oleh seorang menteri. Contohnya, baru-baru ini Menteri Kanan Pendidikan sendiri mengumumkan sekolah akan ditangguh selama seminggu selepas bencana banjir melanda Selangor. itu perkhabaran yang menggembirakan guru dan ibubapa, tetapi ia boleh diumumkan melalui kenyataan media bertulis sahaja berbanding Menteri menjawab apakah solusi (nama program) yang akan KPM laksanakan bagi mengurangkan murid cicir pasca penutupan sekolah mahupun apa langkah (nama inisiatif) yang diusahakan oleh KPM untuk membantu murid yang keluarganya jatuh dari M40 ke B40? Bukankah soalan ini lebih didambakan jawapannya berbanding pengumuman sekolah tutup dan buka?
Hakikatnya, sistem pendidikan kita sedang berjalan tempang diperingkat akar umbi. Kita hanya mahu melihat apa yang kita mahu iaitu dokumentasi yang lengkap, pencapaian secara pukul rata dan respons positif daripada sebahagian (sangat kecil) ibubapa kepada KPM. Sedangkan banyak kecurangan yang sedang berlaku dibawah. Tahukah KPM guru terpaksa mengejar calon SPM untuk menlengkapkan kerja kursus SPM mereka? Tahukah KPM, dalam sehari hanya 3 dari 15 orang murid sahaja yang hadir ke sekolah semasa sekolah dibuka? Tahukah KPM kelas pemulihan perlu dibuka lebih banyak daripada kelas biasa akibat gagal menguasai 3M? Ini semua adalah natijah daripada kecelaruan arah tuju pendidikan yang telah kerajaan PN lakukan.
Sebab itu penulis katakan, kesan dari 2 tahun ini, kita harus terima, impaknya pada tahun 2022. Segala kecurangan yang penulis nyatakan diatas pasti ada kesan kecil mahupun besar kepada masyarakat. Sedarkah kita semua anak-anak sudah tidak ghairah lagi berbicara soal mahu ke sekolah? Mereka tidak ghairah lagi mahu menjadi atlet sukan mewakili sekolah mereka. Mereka tidak ghairah lagi mahu menjadikan pencapaian akademik sebagai salah satu hadiah buat ibubapa mereka. Mereka tidak ghairah lagi melihat guru sebagai suri teladan mereka dalam kehidupan.
Maka masyarakat apa yang kita akan lahirkan kelak? Tepuk dadak tanya selera. Kita tahu akan masa depan diri kita. Sebab itu, kelesuan politik harus diberhentikan segera. Kelesuan politik dikalangan rakyat akan menyebabkan mereka yang merosakkan sistem termasuk sistem pendidikan dibiarkan memimpin. Ayuh kembali membina negara dengan memilih pemimpin yang benar-benar mahu membangunkan masyarakat.