Malaysia Dateline

2022 tahun harapan buat rakyat Malaysia

Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2021. Kita telah lalui dengan penuh cabaran sama ada cabaran pandemik Covid-19 yang telah pun menyebabkan kematian lebih daripada 30,000 rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan cabaran ketidakstabilan politik Malaysia yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi dan kesihatan rakyat.

Tahun baharu 2022 disambut dalam keadaan kita memasuki tahun ketiga berdepan dengan pandemik yang belum ada petunjuk akan berakhir dengan segera.

Tambahan pula berlakunya banjir besar yang melanda negara khususnya di Selangor, Pahang dan negeri-negeri lain yang diibaratkan seperti tsunami kecil yang telah memakan lebih daripada 40 nyawa dan merosakkan serta menghilangkan harta benda yang begitu dahsyat.

Hampir dua minggu banjir berlalu, tetapi usaha untuk membantu dan memulihkan kediaman, harta benda dan mangsa-mangsa banjir masih belum dapat diselesaikan. Ia suatu tugas berat yang memerlukan kerjasama sangat erat daripada semua pihak.

Walau bagaimanapun, kita sangat positif dengan penglibatan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum saling membahu membantu mangsa-mangsa banjir.

Semoga tahun baharu 2022 ini menjadi tahun harapan buat rakyat Malaysia dan dunia amnya.

Bukan sahaja kita mengharapkan dapat keluar segera daripada pandemik Covid-19, tetapi juga kerjasama erat rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama akan semakin kukuh di sebalik beberapa kejadian yang melanda negara.

Selamat Tahun Baharu 2022 daripada saya dan seluruh keluarga Parti Amanah Negara (AMANAH).