Malaysia Dateline

2022: Tahun reset demokrasi Malaysia, sekali lagi

Jika politik pada tahun 2020 merupakan sesuatu yang buruk buat Malaysia, terutamanya apabila kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat dijatuhkan atas pengkhianatan, tahun 2021 sebenarnya lebih teruk lagi. Namun, saya percaya, dalam tahun-tahun mendatang, 2021 akan diingati sebagai tahun norma demokrasi Malaysia dibentuk.

Pelbagai peristiwa berlaku di Malaysia pada 2021 – peningkatan kes Covid-19 yang hanya menurun pada Oktober, pengisytiharan darurat yang bermula pada 12 Januari dan tamat pada 1 Ogos, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkali-kali yang memburukkan lagi krisis ekonomi, dan peletakan jawatan Perdana Menteri pada Ogos.

Tidak cukup dengan itu, 2021 berakhir dengan bencana banjir di Selangor, iaitu negeri terkaya di Malaysia, sekitar Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain yang turut terkesan.

Pada Januari 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang kuasa dengan hanya sokongan separuh daripada 222 Ahli Parlimen. Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan fraksinya telah menarik sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri, sama ada dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan yang diterajui Bersatu atau memaksa pilihan raya mengejut diadakan.

Zahid dan bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak amat berharap pilihan raya mengejut diadakan sebelum mereka dipenjarakan jika disabitkan bersalah atas skandal rasuah mega.

Lebih awal dari itu, pada Oktober 2020, Muhyiddin cuba melaksanakan darurat tetapi telah ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Pada 11 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong akhirnya memperkenan permintaan Muhyiddin. Parlimen digantung buat kali pertama sejak rusuhan kaum pada 1969.

Alasan untuk mengisytiharkan darurat ialah untuk memerangi penularan Covid-19 tetapi kes harian telah meningkat lebih 10 kali ganda daripada 2,232 kes pada 11 Januari kepada 24,559 kes pada 26 Ogos. Terbukti darurat Muhyiddin telah gagal.

Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos selepas bertegang urat serentak dengan banyak pihak – Istana, Umno, pembangkang, malah pandemik. Dalam keadaan ini, Perdana Menteri yang langkah kanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, walaupun beliau bukan Presiden atau Timbalan Presiden Umno, telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos.

Untuk memahami konteks situasi 2021 yang suatu masa nanti bakal menjadi tahun yang membentuk model demokrasi Malaysia, ada lima perkembangan penting yang perlu diketahui, iaitu berakhirnya era Perdana Menteri berlagak Presiden, kemunculan gabungan parti yang setara, kerjasama dwipartisan, kepentingan kuasa negeri, dan pengundi muda serta pemain politik baharu.

1.Berakhirnya zaman Perdana Menteri berlagak Presiden

Sejak kemerdekaan pada 1957 hingga pilihan raya umum 2018, Umno telah mendominasi negara dan berada di puncak kuasa melalui Presidennya yang juga merupakan Perdana Menteri. Struktur kuasa Perdana Menteri yang semakin besar telah menguasai badan eksekutif, kehakiman, dan juga kerajaan-kerajaan negeri apabila kebanyakan Ketua Menteri dan Menteri Besar merupakan Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang dilantik oleh Presiden parti.

Sepanjang 61 tahun sebelum 2018, Malaysia hanya mempunyai enam Perdana Menteri. Selepas 2018 sehingga hari ini, kita sudah mempunyai tiga Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Muhyiddin, dan kini Ismail Sabri, telah mempelajari sesuatu yang baharu, iaitu zaman Perdana Menteri berlagak Presiden sudah tiada lagi.

Perdana Menteri kini tidak lagi ditakuti rakyat dan tidak boleh membuli semua pihak untuk mendapatkan apa yang beliau mahukan. Kini, beliau perlu mencari persefahaman dengan semua pemegang taruh untuk melaksanakan sesuatu perkara.

2.Kemunculan gabungan parti setara

Kini, mana-mana Perdana Menteri yang mahu kekal berkuasa perlu bergantung kepada sokongan rakan gabungan serta pembangkang melalui perjanjian atau persefahaman keyakinan dan pembekalan sokongan. Gabungan itu akan kekal kukuh jika setiap parti bersetuju dengan matlamat yang sama, dan tidak cuba untuk tikam belakang.

Bagi mencapai hasrat demokrasi Malaysia, ia perlu melalui proses, sama ada semua pihak menewaskan Umno sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang atau UMNO sendiri mampu mereformasikan diri untuk menerima demokrasi.

Ia penting kerana pemimpin elit dalam UMNO masih mahu mengekalkan amalan Perdana Menteri berlagak Presiden demi kuasa penuh. Pemimpin utama UMNO seperti Zahid, Najib, dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan telah melaksanakan “dasar bumi hangus” yang menyebabkan kejatuhan Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin. Ismail Sabri juga mungkin menjadi mangsa seterusnya.

Malaysia akan menjadi lebih baik jika Umno menerima hakikat bahawa ia tidak boleh lagi menang mudah dan mengakui kestabilan hanya dapat dicapai melalui kompromi dan persefahaman politik antara parti pemerintah, dan melalui proses Parlimen.

Pilihan raya seterusnya bakal menyaksikan pertarungan tiga gabungan di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan Perikatan Nasional.

3.Kepelbagaian Dwipartisan

Idea gencatan politik telah dibincangkan sejak tahun 2020 lagi. Cuma persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang hanya dirunding secara serius sebelum jatuhnya Muhyiddin. Akhirnya, ia dimeterai pada 13 September 2021 selepas Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran negara. Lima wakil Kabinet dan para pemimpin PH berjumpa dua kali sebulan untuk memastikan pelaksanaan bagi setiap perkara yang telah dipersetujui.

Satu perkara positif daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik itu ialah pindaan Perlembagaan untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang membentuk Malaysia dengan Tanah Melayu, dan bukan lagi satu daripada 13 negeri.

Namun, MoU ini diserang oleh dua pihak yang mahu menangguk di air keruh: kumpulan pemimpin utama UMNO mahu pilihan raya mengejut diadakan melalui tekanan terhadap Ismail Sabri, dan kumpulan daripada pembangkang seperti Warisan.

Selain MoU di peringkat Pusat, terdapat beberapa perjanjian persefahaman di negeri Johor dan Perak yang menyaksikan wakil rakyat PH diberikan peruntukan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

Kerjasama dua hala dalam suasana politik yang terpisah-pisah bukan sesuatu yang mudah. Namun, Malaysia tidak boleh maju tanpa membentuk persepakatan dan kerjasama dwipartisan.

4.Kepentingan kuasa negeri

Walaupun Malaysia merupakan federalisme atau Persekutuan, hakikatnya, Kerajaan Pusat mengawal kebanyakan sumber manakala negeri hanya mempunyai kuasa yang terhad.

Malah, pilihan raya negeri kebanyakannya diselaraskan dengan pilihan raya umum yang ditentukan oleh gabungan parti yang menguasai Kerajaan Pusat. Kini keadaan berubah sedikit. Sabah, Melaka dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya masing-masing. Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad baru-baru ini turut menyatakan keinginan untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan segera.

Memberi lebih banyak kuasa kepada negeri dapat memajukan ekonomi Malaysia dan menguruskan pandemik dengan lebih baik. Negeri berhak menerima hasil cukai pendapatan yang dikutip di wilayah masing-masing. Penambahan pendapatan ini memerlukan kebertanggungjawaban kerajaan negeri menguruskan sektor kesihatan dan pendidikan seperti yang diamalkan oleh negara-negara federalisme di seluruh dunia.

5.Pengundi muda dan pemain politik baharu

Satu lagi hasil positif MoU di antara kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan ialah pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Kini, umur layak mengundi adalah 18 tahun, dan mereka yang belum berdaftar sebagai pengundi akan dimasukkan dalam senarai daftar pemilih. Hampir 5.8 juta pengundi baharu akan ditambah dalam senarai daftar pemilih yang berjumlah hampir 15 juta pengundi.

Pengundi muda mencari kepimpinan baharu dan sebilangan besar daripada mereka akan menggegarkan politik negara. Contohnya, parti Muda yang diketuai bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah diluluskan pendaftarannya. Ia mendapat banyak tarikan daripada orang muda serta mereka yang kecewa dengan parti yang sedia ada.

Disebabkan ketandusan kepimpinan, akan ada lebih ramai pemain politik baharu yang bakal muncul dalam gelanggang demokrasi. Nampaknya memang 2022 bakal menjadi tahun yang akan ‘reset’ semula demokrasi Malaysia.

Semua perkembangan 2021 yang saya nyatakan ini mungkin sementara sifatnya atau ia boleh diterbalikkan seperti merudumnya demokrasi yang berlaku di negara lain.

Namun, pada masa yang sama, jika tiada kemunculan anasir kuku besi serta semua pihak rela menerima hakikat padang sama rata, walaupun mungkin dengan berat hati, ini bererti masih ada harapan bahawa amalan demokrasi akan membentuk Malaysia menjadi lebih baik tidak lama lagi.