2,113 kandungan video di TikTok kena padam – Awas buat penyebar berita palsu, provokatif!

Oleh ARIF ATAN

Penyebar berita palsu dan TikToker yang bercadang mahu menghasilkan video yang berunsur provokatif dan ekstremis nampaknya perlu membatalkan hasrat masing-masing.

Ini kerana penyedia aplikasi TikTok telah pun memadam secara automatik sebanyak 2,113 video yang berunsur provokatif dan ekstremis sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hingga 26 November lalu.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, daripada jumlah itu, sebanyak 857 video dipadamkan sepanjang kempen bermula 12 hingga 18 November, manakala 130 rakaman turut dikekang ketika hari pengundian, pada 19 November lalu.

“Selepas pasca PRU15 bermula 20 hingga 26 November, sebanyak 1,126 video dikekang secara automatik bersandarkan sistem kecerdasan buatan (AI) TikTok.

“Pada masa sama, maklumat diterima bagi 1 Januari hingga 5 Disember, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sudah berikan sejumlah aduan kepada TikTok untuk turunkan video dan daripada 202 video yang dimohon, sebanyak 95 diturunkan kerana melanggar garis panduan komuniti, manakala 28 video pula dipadamkan kerana melanggar undang-undang negara,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, hari ini, beliau juga memberitahu sebanyak 1,000 bahan kandungan video yang bersifat provokatif dan ekstrem sepanjang PRU15 dipadam TikTok selepas menerima aduan SKMM serta beberapa badan dan agensi lain.

Selain aplikasi TikTok, beliau berkata, kerajaan akan meneliti undang-undang sedia ada terhadap pengusaha platform media sosial agar peraturan itu lebih responsif terhadap permohonan serta permintaan daripada pihak berkuasa.

Katanya, kajian dengan lebih terperinci akan dilakukan demi menilai langkah yang perlu dilakukan, bukan untuk kerjasama lebih erat namun undang-undang lebih tegas.

“Kita mahu lihat pengurangan kandungan yang bersifat provokatif, khususnya berkaitan 3R iaitu Raja-Raja Melayu, isu agama dan perkauman.

“Ini antara (perkara) yang akan kita usahakan (dalam meneliti undang-undang sedia ada),” katanya lagi.

Dalam masa sama, Fahmi berkata, pasukan khas yang ditubuhkan menangani berita palsu pada 1 Disember lalu akan memberi penekanan kepada aspek komunikasi, terutama pengurusan menangani berita palsu.

“Pasukan ini juga akan memantau hantaran berita palsu yang dilihat mempunyai kesan negatif kepada ekonomi, sosio budaya, agama dan keselamatan dan memberi penjelasan kepada awam.

“Hasil pemerhatian, tempoh antara Perdana Menteri mengangkat sumpah hingga terbentuk Kabinet itu adalah waktu paling kritikal, banyak sebaran berita palsu ketika itu.

“Dengan adanya Task Force ini akan membantu untuk mengekang penyebaran berita palsu dengan lebih proaktif,” kata pemimpin PKR itu lagi.

Baca juga ‘Kalau panas tidaklah susah nak berteduh nanti’

Baca juga Mengerikan! Kanak-kanak terperangkap dalam lubang sedalam 122 meter