Malaysia Dateline

2,150 pelajar Parit Buntar terima sumbangan kelengkapan sekolah

Dr Mujahid bersama pelajar yang menerima kelengkapan sekolah

Seramai 2,150 pelajar daripada keluarga yang kurang mampu di Parlimen Parit Buntar telah menerima kelengkapan sekolah sebagai persiapan untuk memasuki sesi persekolahan tahun depan menerusi program ‘Back To School’ yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar, Dun Titi Serong dan Dun Kuala Kurau

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan selain menyuntik semangat murid untuk menghadiri sesi persekolahan.

“Sumbangan yang diberikan merangkumi pakaian sekolah, kasut dan beg dengan nilainya dianggarkan RM100 seorang.

“Sebanyak tujuh siri penyampaian sumbangan ini telah diadakan melibatkan sumbangan dari agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa dan agensi di bawah kedua-dua Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim,” katanya ketika ditemui semasa program Back To School di Dewan Ramli Ngah Talib, Taman Kerian, di sini.

YB Hasnol Zulkarnain bersama isteri menyantuni pelajar memilih pakaian sekolah,

Turut hadir, Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Adnan Abd Rahman

Hairul Nizam berkata, penduduk di Parit Buntar bertuah kerana ketiga-tiga wakil rakyat ini telah berusaha mencari dana melalui ahli korporat dan dermawan bagi meningkatkan lagi jumlah penerima sumbangan kelengkapan sekolah pada tahun ini

“Misalnya, pada hari ini, sumbangan kelengkapan sekolah telah diusahakan oleh Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim melalui pihak korporat

“Seramai 250 pelajar menerima sumbangan pada sebelah pagi dan 100 pelajar lagi menerima pada sebelah petang” katanya

Menurutnya, sempena majlis pada hari ini juga disediakan khidmat gunting rambut percuma kepada pelajar.

Sementara itu, seorang bapa pelajar Syukri Hasan 45, berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang banyak memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah

“Ini tahun kedua saya terima, semasa zaman BN saya tidak pernah menerima sumbangan kelengkapan sekolah. Saya bersyukur kerana keprihatinan wakil rakyat membantu kami.

“Dengan bantuan ini dapatlah meringankan beban ibu bapa seperti saya yang mempunyai pendapatan yang kecil. Terima kasih atas sumbangan peralatan lengkap persekolahan ini,” katanya

Seorang ibu Hasmah Husin, 41, berkata sumbangan itu sekali gus meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pesawah untuk mengeluarkan duit membeli barangan sekolah.

“Pastinya suami saya tidak perlu bersusah payah untuk mengeluarkan kos perbelanjaan bagi membeli peralatan sekolah untuk dua orang anak kami.

“Kami bersyukur terhadap sumbangan ini dan ia akan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.