Malaysia Dateline

217 kumulatif kes positif COVID-19 dirawat di Maeps

Sebanyak 217 kumulatif kes positif Covid-19 telah dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) setakat hari ini, maklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 65 kes telah dibenarkan pulang dan 152 kes masih lagi dirawat.

Beliau berkata, terdapat tujuh orang pesakit yang telah dirujuk semula ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, terdapat seramai 212 orang anggota kesihatan yang bertugas di pusat ini daripada pelbagai kategori.

“Ia merangkumi tiga pakar perubatan, 34 pegawai perubatan, 90 jurulatih terlatih, 21 pegawai farmasi dan lapan juru x-ray.

“Selain itu, di pusat ini turut merangkumi, sembilan juruteknologi makmal perubatan, sembilan pegawai dietetik dan sajian, serta dua kaunselor dan 36 daripada lain-lain kategori pelbagai pangkat, maklum beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menambah, kesemua anggota kesihatan itu telah dimobilisasikan dari Ibu Pejabat KKM, Jabatan Kesihatan Negeri, hospital KKM, hospital angkatan tentera, hospital universiti awam dan anggota sukarelawan.

Katanya, pusat ini juga mempunyai satu pasukan yang dikenali sebagai pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang memberikan perkhidmatan sokongan emosi, psikologi dan spiritual kepada pesakit dan petugas.