Malaysia Dateline

22 anggota bomba dikuarantin selepas seorang positif Covid-19

Seramai 22 anggota bomba di Guar Chempedak, Kedah menjalani kuarantin di balai sementara menunggu laporan Kementerian Kesihatan (KKM).

Langkah itu diambil selepas seorang anggota Pegawai Bomba Bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata, anggota terbabit sudah dimasukkan ke hospital berhampiran selepas ujian saringan pertama mendapati beliau positif Covid-19.

Susulan itu, jelasnya, semua 39 anggota di BBP Guar Chempedak disaran menjalani ujian saringan Covid-19 dan 16 disahkan negatif.

“Kita belum buat keputusan menutup balai kerana masih menunggu laporan KKM.

“Saya akan mengadakan perbincangan di peringkat jabatan dan setakat ini dua balai iaitu BBP Aman Jaya dan BBP Yan sedia membantu jika berlaku kecemasan di kawasan Guar Chempedak,” dipetik BH hari ini.