Malaysia Dateline

22 bazar Ramadan di 7 negeri diarah tutup mulai esok

Sebanyak 22 bazar Ramadan di tujuh buah negeri diarahkan tutup mulai esok berikutan terdapat ancaman jangkitan COVID-19.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  Datuk Zainal Abidin Abu Hassan arahan penutupan bazar Ramadan adalah berdasarkan Keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara pada 28 Apri 2021.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (PBT) telah menerima laporan daripada Hotspot Identification By Dynamic Engagement (HIDE) Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan COVID-19 di kawasan Bazar Ramadan,” katanya.

Surat arahan penutupan turut diedarkan kepada PBT Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ancaman penyebaran ini adalah hasil analisa pengesanan contact tracing yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui aplikasi My sejahtera.

“Kerjasama diperlukan untuk menutup operasi bazar ramadan berkuat kuasa 1 mei 2021 bagi membendung dan mengawal jangkitan serta peningkatan kes COVID-19,” katanya.

22 bazar Ramadan yang diarahkan tutup antaranya, empat di Johor, tiga di Kedah, dua di Pahang, satu di Perak, lapan di Pulau Pinang, dan dua masing-masing di Selangor dan Wilayah Persekutua Kuala Lumpur.