Malaysia Dateline

22 buah kampung di DUN Demak Laut tubuh MPKK

Sebanyak 22 buah kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di Sarawak bakal menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam masa terdekat ini.

Penyalaras Penubuhan MPKK DUN Demak Laut Mohd Zen Peli berkata, pihaknya telahpun mengeluarkan borang kepada penduduk di kampung -kampung terbabit bagi menyenaraikan ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih nanti.

Katanya, tarikh akhir bagi menghantar borang tersebut ialah selewat-lewatnya pada 12 Oktober ini.

“Saya yakin kesemua 22 buah kampung di kawasan DUN Demak Laut akan menubuhkan MPKK sekali gus bakal menjadikan antara DUN terawal di Sarawak yang berbuat demikian,’ ujarnya.

Menurut Mohd Zen, sambutan penubuhannya MPKK di DUN Demak Laut amat memberansangkan memandangkan maklum balas yang diterima daripada seluruh penduduk setempat setakat ini.

Menurutnya, pemilihan ahli-ahli jawatankuasa MPKK di peringkat kampung nanti adalah terdiri di kalangan anak-anak kampung terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan usia.

“Rakyat di kawasan DUN Demak Laut amat mengalu-alukan keprihatinan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH)
kerana mengambil langkah bijak dalam menubuhkan MPKK di negeri ini,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, ramai penduduk telah melahirkan rasa kesal mereka dengan sikap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang cuba menggagalkan hasrat murni Kerajaan Pusat menyalurkan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Kita yakin dengan penubuhan MPKK, rakyat dapat menikmati hasil pembangunan yang telus tanpa ada sikap prejudis seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya.