Malaysia Dateline

22 bulan pengalaman dan eksperimen Kementerian Wilayah

Kementerian Wilayah diterajui Khalid Samad berjaya mengembalikan hak DBKL berjumlah RM1 bilion yang diselewengkan ketika pentadbiran BN.

22 bulan diberikan ruang dan peluang mentadbir Kementerian Wilayah Persekutuan banyak meninggalkan kenangan dan memberikan pengalaman.

Daripada bergelar pembangkang yang kononnya hanya tahu membangkang, kami belajar mentadbir dan melakukan apa yang termampu dalam tempoh masa yang diizinkan Allah.

Selama 22 bulan ikhlasnya tidak banyak perkara yang kami lakukan. Pada awal pentadbiran, kami cuba meneliti segala yang dilakukan sebelum kami.

Mesyuarat, perjumpaan dan siasatan dilakukan untuk mengenalpasti kebocoran, kelonggaran dan kecuaian yang telah berlaku. Tujuannya adalah untuk memperbaiki, menutup dan menghentikan segala perkara yang rosak dan merosakkan.

1) Jawatankuasa Khas Siasatan Transaksi Tanah

Jawatankuasa Khas Siasatan Transaksi Tanah ditubuhkan untuk meneliti, menyiasat dan memperbetulkan segala transaksi yang dilakukan.

Tanah-tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur dan tanah milik Kerajaan Persekutuan dijual dan dipindahmilik dengan sewenang-wenangnya tanpa mengikut aturan dan peraturan.
Hasilnya, Jawatankuasa berjaya mengembalikan hak sebanyak lebih kurang RM1 bilion kepada DBKL.

2) Majlis Mesyuarat Menteri

Sebuah Majlis Mesyuarat ditubuhkan yang dinamakan Majlis Mesyuarat Menteri di mana Majlis ini dianggotai oleh semua pimpinan tertinggi kementerian, pimpinan tertinggi DBKL, semua Ahli Dewan Rakyat Kuala Lumpur dan juga agensi terlibat.

Sebelum PH mentadbir Malaysia, Ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang iaitu DAP, PKR dan yang bukan BN tidak diberikan ruang sewajarnya menyertai pentadbiran dan urusan DBKL.

Semasa pentadbiran PH, Majlis Mesyuarat ini ditubuhkan. Semua Ahli Dewan Rakyat hadir memberikan maklum balas, kemukakan persoalan dan masalah di kawasan dan sebagainya secara terus kepada Menteri, KSU, Datuk Bandar dan kepimpinan tertinggi. Semua keputusan berkaitan dasar dan hala tuju DBK dibincangkan dan diputuskan bersama.

3) Peniaga dan Penjaja

Maklum mengetahui orang tengah menjadi masalah kepada peniaga kecil dan penjaja di Kuala Lumpur. Tapak-tapak perniagaan di pasar malam, bazar, uptown ada yang dikawal dan dimonopoli pihak tertentu. Untuk menyelesaikan masalah ini, diusahakan agar tapak bazar, pasar malam dan uptown dikendalikan secara terus oleh DBKL atau melalui DBKL.

Bazar Ramadhan tidak lagi dkendalikan oleh persatuan keseluruhannya. Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman dipindahkan ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.

Permohonan terus kepada DBKL dan undian tapak dijalankan untuk mengelakkan dan/atau mengurangkan campurtangan orang tengah.

4) Perkhidmatan Bas Percuma Go KL

Sebelum PH mentadbir, perkhidmatan bas percuma memang sedia ada diberikan tetapi perkhidmatannya hanya berpusat di kawasan pusat bandar.

Semasa PH, laluan Bas Percuma Go KL ditambah dan diubah daripada hanya berpusat di Pusat Bandar ke laluan lain sehingga ke pinggir bandar bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk/pengguna untuk masuk ke pusat bandar.

Laluan Kerinchi, Keramat memberikan akses kepada penduduk-penduduk PPR di kawasan sekitar menikmati perkhidmatan percuma ini.

5) Pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020

Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 telah digubal sejak lama semasa BN berkuasa tetapi tidak diwartakan. Akibatnya pembangunan Kuala Lumpur mengikut selera pihak tertentu bukannya seperti yang dirancangkan dengan persetujuan warga Kuala Lumpur.

Pewartaan Pelan Tempatan ini menghentikan pembangunan suka hati dan menutup ruang bawah meja demi pembangunan. Setiap pembangunan mesti mengikut Pelan yang telah ditetapkan dan diwartakan. Jika mahu mengubah dan melencong dari Pelan, prosedur yang ketat perlu dilalui.

6) PPR Angkat

Mengetahui kantung Kerajaan, Kementerian dan DBKL yang terhad, maka kerjasama korporat amat diperlukan. Justeru, program PPR angkat diperkenalkan dan dicuba. Ada beberapa PPR telah diambil sebagai PPR angkat oleh beberapa pemaju korporat atas Sumbangan Tanggungjawab Korporat mereka. Masalah pengurusan, kebersihan kawasan, pengindahan dan prasarana PPR dibantu oleh pemaju terlibat.

Ada beberapa lagi tindakan telah dilaksanakan tetapi cukup dulu setakat ini. Ini antara perubahan yang cuba dijalankan untuk memenuhi aspirasi warga yang menolak BN dalam PRU-14 lalu.

Memang tiada kalimah keramat dalam pentadbiran kami tetapi kami cuba lakukan sebaiknya dalam ruang yang ada. Jika kami diizinkan dan tidak berlaku perampasan Februari lalu, insyaAllah lebih banyak yang telah dirancang akan dilaksanakan.

Tiada satu pun yang dilaksanakan mengayakan atau menguntungkan kami secara peribadi tetapi hanyalah tanggungjawab yang dipikul untuk kesejahteraan semua.

 

* ZULHAZMI SHARIFF merupakan bekas Pegawai Khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.