Malaysia Dateline

22 kertas siasatan dibuka berhubung berita tidak sahih penularan Koronavirus

Sejumlah 22 kertas siasatan dibuka di seluruh negara berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di media sosial.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Datuk Mohd Roze Shaari berkata daripada jumlah itu, dua kes telah dituduh di mahkamah dengan tiga pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan satu pertuduhan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis menggesa orang ramai untuk menghentikan spekulasi berkenaan siasatan-siasatan yang dijalankan. Sebarang kenyataan ataupun artikel yang berkaitan dengan perkara ini (koronavirus) tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Roze berkata tindakan menyebarkan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan penularan koronavirus dikhuatiri akan mencetuskan suasana tidak harmoni di dalam negara.

“Orang ramai diharap dapat memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dalam menegakkan keadilan dan memeliharan kedaulatan undang-undang,” katanya.– BERNAMA