
22 negara sertai Kejohanan Golf Junior Antarabangsa 2019 di Kuching
Sebanyak 22 buah negara termasuk Malaysia akan menyertai Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Ke-21 yang akan bermula pada 26 hingga 28 November ini bertempat di Kelab Golf Sarawak di Kuching.
Menurut Pengerusi Persatuan Golf Sarawak Hoan Kee Hock, sebanyak 241 peserta telah mengesahkan penyertaan dan bakal beraksi pada kejohanan itu nanti.
Katanya, antara negara-negara yang menghantar peserta ialah Australia, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun, Qatar, New Zealand, Norway, dan Sweden serta dianggarkan seramai 156 peserta lelaki dan 85 wanita bakal berentap pada kejohanan kali ini.
“Kejohanan kali ini adalah yang pertama di Malaysia yang mana setiap mata yang diperolehi akan dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook termasuk aksi bola masuk ke dalam lubang, ” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Piala Ketua Menteri Sarawak oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Kuching hari ini.
Tambah beliau lagi, penganjuran kejohanan seumpama ini adalah bertujuan untuk mempromosikan sukan golf Sarawak di samping membantu menjadikan Sarawak sebagai sebuah Sukan Induk yang terbesar di Malaysia serta di rantau ini.
“Dengan penganjuran seperti ini akan dapat mengangkat dan mempromosikan Sarawak sebagai sebuah Sukan Induk di negara ini nanti, ” tambahnya.