22 Pemuda UPKO Ranau keluar parti

22  Pemuda UPKO Ranau keluar parti
Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Ranau Jackson Musi (tengah) hari ini mengumumkan keluar parti UPKO bersama 22 anggota Ahli Jawatankuasa UPKO Ranau dalam satu sidang media semalam.

Seramai 22 ahli Pemuda Upko Bahagian Ranau, termasuk ketuanya mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa hari ini.

Ketuanya, Jackson Musi berkata keputusan itu dibuat antaranya kerana anggota berkenaan, yang rata-rata anggota jawatankuasa Pemuda Upko Bahagian Ranau, hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti itu dan akan menyerahkan surat perletakkan jawatan dalam parti dalam masa terdekat ini.

“Pada mulanya, kami hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti sejak penubuhan kerajaan campuran bersama Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH).

“Dan keduanya, khususnya di Ranau, kami telah hilang kepercayaan kepada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Paginatan (Datuk Abidin Madingkir)… dia (Abidin) tidak peduli dengan Upko Bahagian Ranau, hanya fokus kepada kawasan Paginatan,” katanya semalam.

Jackson turut berkata, perpaduan dalam kalangan ahli Upko juga terjejas sejak pemilihan parti pada 2015 dan menasihatkan kepimpinan parti supaya mengambil tindakan untuk mengukuhkan parti itu agar sentiasa releven.

Beliau berkata anggota yang keluar itu akan berehat sementara daripada politik, namun akan bersifat mesra kerajaan.-Bernama.