Malaysia Dateline

22 tahun PKR: AMANAH, DAP setia pada prinsip yang dikongsi bersama

Sewaktu ADIL diasaskan sebagai NGO, jelas latarnya adalah untuk meneruskan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk reformasi negara dan melawan rejim yang korup.

Saya masih bertugas sebagai pensyarah di Melaka dan mengikuti perkembagan ADIL. Waktu itu saya bersama Pas dan kesediaan Datuk Fadhil Nor selaku Presiden Pas menghulurkan ‘pohon zaitun’ kepada DSAI yang diaibkan oleh Tun Mahathir ketika itu membuka lembaran baru hubungan Pas dan DSAI.

Sebagai Pemuda Pas ketika itu, tidak mudah untuk ahli Pas lain menerima hakikat Presiden Pas ‘sanggup’ menerima malah menyatakan akan membela DSAI atas kezaliman yang berlaku ke atas beliau.

Sebelumnya DSAI dianggap ayam tambatan Umno untuk melemahkan Pas dan perjuangan Islamnya. DSAI menjadi juara penerapan nilai-nilai Islam yang melemahkan kemaraan Pas.

Saya banyak terlibat di Melaka ketika itu berada atas pentas yang sama dengan pemimpin ADIL seperti Datuk Wira Dr Hasan Baharom (kini bersama AMANAH), Khalid Jaafar dan lain-lain.

Datuk Wira Shamsul Iskandar mantan Ketua Pemuda PKR waktu itu baru sahaja tamat pengajian dan turut aktif berceramah. Isu DSAI dan mata lebamnya menjadi bahan ceramah setiap malam atas pentas Pas dan ADIL.

Parti Keadilan Rakyat atau PKR kemudiannya ditubuhkan sebagai entiti parti politik dan memasuki buat pertama kalinya PRU 1999 dan pada tahun 2003 satu usaha menyatukan Parti Rakyat Malaysia dan PKR melahirkan era baru pasca PRU 1999 untuk PKR.

Saya mengikuti setiap perkembangan politik DSAI dan setelah AMANAH diasaskan pada tahun 2015, AMANAH menjadi salah satu faktor lahirnya Pakatan Harapan (PH).

Kami bersama menyambut perjuangan PKR menjadikan Malaysia bebas perkauman sempit dan menegakkan keadilan untuk semua.

Reformasi yang menjadi slogan PKR menjadikan ia parti diminati ramai dalam suasana BN yang ketika itu dipalit dengan berbagai isu rasuah.

22 tahun berlalu dan PKR telah melalui ombak ganas politik yang tiada belas kasihan. DSAI pencetus PKR dan ideolognya mempertahankan asas dan ideologi PKR khusus cabaran masalah dalaman yang dihadapinya. Walaupun dipenjara dua kali, PKR tidak kelihatan mahu berundur selagi stamina reformasi DSAI masih hidup dan segar.

Syabas dan tahniah setelah melalui badai, bahtera PKR kukuh dan utuh dan saya mendoakan PKR kekal memperjuangkan asas Malaysia yang demokratik dan mempertahankan prinsip hukum dan keadilan untuk semua terus ditegakkan.

Kepimpinan PKR pada saat sukar dan getir politik pengkhianatan sangat diperlukan untuk memberi keselesaan kepada rakan setianya dari DAP dan AMANAH bahawa tiada agenda peribadi dalam mengemudi cita-cita murni. Kami tetap setia pada prinsip yang dikongsi bersama.

‘Membujur lalu, melintang patah’. Demikiankah kata semangat yang menyuntik jiwa perjuangan ahli PKR dan kepimpinannya.

Semoga 22 tahun dan tahun mendatang akan menjanjikan perjuangan yang hebat dan membersihkan perjuangan keramat ini dari para pembelot dan para pengkhianat.

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Naib Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Buntar.