Malaysia Dateline

2,200 MPKKP di Sarawak mula beroperasi 2020

Sejumlah 2,200 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) akan mula beroperasi di Sarawak bermula Januari hadapan.

Ahli Jawatankuasa Penubuhan MPKKP Sarawak Alli Biju berkata, ia merupakan jumlah fasa pertama penubuhan selepas tarikh akhir menghantar borang sejak 17 November lalu.

Katanya, Ahli Jawatankuasa Penubuhan telah menerima sebanyak 2,200 borang berkenaan sekali gus dibawa ke peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi mengesahkan penubuhan.

“Setakat yang saya ketahui, kita telah dimaklumkan sejumlah 2,200 borang yang dihantar ke KPLB telah diproses dan diluluskan.

“Oleh demikian, ini bermakna MPKKP akan mula beroperasi di kampung dan rumah panjang termasuk di kawasan perumahan pada Januari hadapan,” jelas beliau ketika ditemui semasa hadir pada Majlis Pra Gawai di Rumah Panjang Lubok Kepayang Awik di Saratok pada Isnin.

Alli yang juga merupakan Ahli Parlimen Saratok menegaskan, kesemua ahli MPKKP akan diberikan taklimat dan kursus sebagai persediaan bagi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dan seluruh penduduk di negeri ini.

Beliau menambah, untuk fasa kedua penubuhan ia turut dilaksanakan pada Januari memandangkan ramai masyarakat kampung khususnya di pedalaman mahu MPKKP diwujudkan di kawasan mereka.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan di seluruh Sarawak kerana mereka tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Justeru beliau berharap supaya penubuhan MPKKP tidak dipolitikkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak(GPS)kerana ia menyukarkan rakyat di negeri mendapatkan bantuan atau sumbangan daripada kerajaan pusat.

“Sebenarnya banyak inisiatif yang disediakan kerajaan pusat untuk rakyat di negeri ini.Jadi tujuan MPKKP ditubuhkan adalah bagi menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif berkenaan.

“Demi rakyat Sarawak,saya berharap GPS janganlah nak politikkan MPKKP ini.Yang penting kami bekerja untuk mereka dalam menyampaikan maklumat bantuan dan sumbangan di samping berupaya membawa pembangunan di kawasan mereka nanti,” ujar beliau lagi.