Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH ucap selamat maju jaya kepada Mat Taib

Mohd Sany Hamzan

Pemuda AMANAH Nasional menghormati pendirian bekas Menteri Besar selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang kembali menyertai Umno hari ini selepas hampir lima tahun bersama pembangkang.

“Setiap individu mempunyai hak untuk keluar atau menyertai mana-mana parti dan ia perlu dihormati biarpun tindakan tersebut kemungkinan mempunyai agenda atau sebab-sebab tertentu,” kata Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan.

Bagaimanapun Pemuda AMANAH menyelar kenyataan Muhammad yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib bahawa tiada agenda Melayu yang dibawa oleh pembangkang.

“Kenyataan tersebut adalah tidak berasas, ini kerana Pakatan Harapan sering membincangkan aspek kepentingan Melayu di dalam mesyuaratnya namun Mat Taib tidak berpeluang untuk berada dalam perbincangan tersebut sebaliknya hanya melibatkan diri dalam mesyuarat-mesyuarat kecil di peringkat bawahan,” katanya.

Mat Taib keluar Umno dan menyertai Pas pada April 2013 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan keluar dari parti itu pada September 2015 sebelum menyertai PKR.

Pemuda AMANAH juga mengucapkan ‘syabas’ kepada Umno kerana menganggap kemasukan kembali Mat Taib satu agenda yang teralu besar sehingga terpaksa membuat sidang media tergempar dan menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Rakyat sudah pasti sangat kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang telah menimbulkan persoalan yang menjadi perhatian umum sedangkan ia hanyalah satu pengumuman biasa dan tidak memberi manfaat atau faedah kepada rakyat.

“Kami yakin, rakyat telah meletakkan azam dan iltizam untuk membuat perubahan dalam PRU14 nanti sekalipun Najib beranggapan kemasukan semula Mat Taib akan memberi impak besar kepada Barisan Nasional,” katanya.

Sidang media petang tadi menimbulkan spekulasi sejak pagi tadi dan ada yang menjangkakan Najib bakal membuat pengumuman berkaitan PRU14.

Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Perlis hari ini juga akan disingkatkan kerana Najib dijangka membuat pengumuman penting.