2,300 unit rumah generasi baharu Felda di Pahang siap 2018

2,300 unit rumah generasi baharu Felda di Pahang siap 2018

Sebanyak 2,300 unit rumah menerusi projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang berstatus masih dalam pembinaan dijadual siap sepenuhnya pada penghujung 2018.

Pengerusi Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun berkata penyerahan kunci PGBF di daerah Rompin dijangka pada akhir tahun ini, melibatkan 264 unit rumah di Felda Keratong 4, Selancar 4 dan 5 (480 rumah) serta Selendang 2 (360 rumah).

“240 unit rumah di Felda Sungai Koyan, Raub pula dijangka siap pada awal tahun hadapan, manakala jangkaan siap 100 rumah di Felda Sungai Tekam, Jerantut dan 56 rumah di Felda Kampung Awah, Temerloh adalah pada pertengahan 2018.

“Sementara pada penghujung tahun depan, 400 unit rumah di Felda Sungai Rentang, Jerantut dan 400 unit rumah di Felda Keratong 7, Rompin dijangka siap sepenuhnya,” kata beliau.

Abu Bakar berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Andasura Rabu (Pas-Beserah) mengenai bilangan dan jangkaan siap rumah PGBF.

Menjawab soalan tambahan Andasura mengenai punca permohonan ditolak, Abu Bakar berkata ia lazimnya disebabkan beberapa faktor seperti bapa pemohon membuat tindakan saman atau tidak menghantar hasil kepada Felda.

“Bagaimanapun, mereka masih boleh membuat rayuan dan jika ada kekosongan di tanah rancangan itu, masih boleh dipertimbangkan kerana kerajaan memang berhasrat nak selesaikan isu perumahan generasi muda ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar), berkata kerajaan negeri pada masa ini tidak bercadang menukar kaedah jual beli kepada kaedah sewa beli dalam program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dan Rumah Makmur Pahang.

“Bagaimanapun bagi pemohon yang tidak memiliki slip gaji, kerajaan ada menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang menjamin pinjaman pembeli rumah melibatkan golongan seperti petani, peneroka, nelayan dan mereka yang bekerja sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) yang menyatakan lebih banyak perumahan mampu milik boleh dilaksanakan jika bank dikawal daripada memberi pinjaman kepada projek perumahan mewah.

Beliau berkata pandangan itu bersifat andaian kerana pihak bank sudah pasti mempunyai pertimbangan sendiri dalam memberi pinjaman dan itu merupakan pendapatan kepada institusi kewangan tersebut.

“Sudah pasti dalam mendapat pendapatan, bank akan menjaga kepentingan mereka dan menimbang jika peminjam boleh membayar pinjaman yang diberikan. Jadi saya tidak melihat ia menjadi suatu faktor untuk mengawal,” katanya.

CATEGORIES
TAGS