Jamal  pecah  botol arak depan Bangunan SUK tanda protes ‘pesta arak’ di Selangor

Jamal pecah botol arak depan Bangunan SUK tanda protes ‘pesta arak’ di Selangor

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuat gimik memecahkan 10 kotak botol arak di hadapan pintu pagar Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor hari ini.

Jamal yang datang bersama ahli-ahli NGO pada mulanya hanya berniat menyerahkan kesemua minuman keras itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun dihalang pihak berkuasa sebelum bertindak memecahkannya di hadapan pintu pagar bangunan berkenaan.

“Biar mabuk dalam SUK, jangan mabuk luar SUK. Biarkan sama ada Azmin Ali nak minum atau tak, nak melingkup, biar dalam pejabat dia.

“Tuan, kami nak hantar saja (arak) ke pejabat Azmin Ali, sebab dia tak hiraukan rakyat Selangor. Dia nak galakkan rakyat Selangor ini mabuk berpesta minum arak,” kata Jamal kepada penguat kuasa di bangunan SUK itu.

Bengang kerana dihalang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengambil sebotol minuman keras berkenaan dan memecahkannya di atas jalan raya.

Jamal juga membidas sikap kerajaan negeri yang secara terang-terangan menggalakkan pesta maksiat yang menjejaskan sensitiviti umat Islam di Selangor.

“Patutnya Kerajaan Selangor menggalakkan buat perkara yang baik tapi menggalakkan rakyat Selangor melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh ini, merosakkan akhlak tak kira Melayu, Cina dan India.

“Bukan Islam pun tak suka, kalau nak minum, mereka minum dalam rumah, sebab itu kami datang nak bagi Azmin Ali minum,” katanya lagi.

Sebelum itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya tidak keberatan membenarkan penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang membabitkan minuman keras di Centro Mall, Klang.

Menurutnya, penganjuran Pesta Arak 2017 itu mungkin dibenarkan sekiranya mengikuti segala peraturan dan syarat yang dikenakan pihak berkuasa tempatan.

Jamal melakukan gimik pecah botol arak di hadapan bangunan SUK setelah gagal menghantar 10 kotak minuman keras itu di pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS