Cegah, pulih, didikan agama benteng tangani gejala dadah remaja

Cegah, pulih, didikan agama benteng tangani gejala dadah remaja

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mahu kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam membendung gejala dadah di kalangan remaja memastikan aspek pencegahan dan pemulihan mampu membina benteng yang berkesan menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, selain persoalan pencegahan dan pemulihan, hukuman kepada pesalah juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kementerian terlibat.

Ahli jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, gejala dadah yang membelenggu remaja disebabkan benteng agama yang lemah memberi ruang mudah kepada unsur-unsur negatif menguasai diri seseorang.

“Kita dapat melihat sejauh mana kokurikulum pendidikan agama diperkasakan di sekolah-sekolah hari ini. Malangnya, pendidikan agama dijadikan perkara sampingan, kerana terlalu mengejarkan kejayaan akademik yang lain.

“Saya pernah menulis satu artikel bertajuk, ‘Dadah dan Rasuah: Hipokrasi Kerajaan’ pada 28 Ogos 2016. Kedua-duanya adalah musuh utama yang membantutkan pembangunan negara hari ini.

“Penawar dan ubat sebenar bagi rasa keluh kesah menghadapi kesulitan hidup, rasa kekecewaan yang melampau, rasa tamak dan rakus mengejar kemewahan dan hilangnya rasa amanah dalam diri adalah agama dan taqwa kepada Allah.

“Ia adalah penyakit-penyakit hati yang rawatannya mestilah rawatan langsung ke atas hati dan iman yang lemah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai 420 sekolah berisiko tinggi menghadapi penyalahgunaan dadah yang begitu membimbangkan masyarakat.

Setelah gagal mencapai misi tahun 2015 bebas dadah, kini ia lebih meruncing sehingga menular ke peringkat sekolah.

Jumlah yang dikeluarkan itu bagaimanapun ujarnya, hanya ujian rambang dikalangan 36,675 pelajar, sudah pasti jumlah sebenar pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan.

“Unsur-unsur agama adalah tunjang kepada aspek pencegahan dan pemulihan, bukan sekadar pada fasa pemilhan semata-mata.

“Kerajaan perlu menilai perkara ini secara objektif dan merangka polisi-polisi yang berkesan dalam mencegah dan merawat berdasarkan pandangan agama.

“Sampai bila kita harus berdiam diri melihat kemungkaran yang semakin membarah dalam masyarakat hari ini,” ujarnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS