Zairil letak jawatan Presiden FAP serta merta hari ini

Zairil letak jawatan Presiden FAP serta merta hari ini

Ekoran prestasi hambar ditunjukkan pasukan Pulau Pinang, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), berkuat kuasa serta-merta.

Dalam status di facebooknya beliau berkata, kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini mendorong beliau membuat keputusan meletak jawatan.

“Saya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

“Walaupun perjalanan saya dalam FAP adalah singkat, namun banyak yang telah saya harungi, pahit dan manis.

“Saya dan pasukan pengurusan telah melakukan yang terdaya dan yang terbaik,” ujarnya.

Zairil berkata, apabila strategi membawa masuk jurulatih asing tidak membuahkan hasil, FAP dakwanya, menukar strategi menggantikan Ashley Westwood dengan legenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan.

Malangnya, katanya, sekali lagi nasib tidak menyebelahi pasukan itu.

“Pun begitu, saya bangga dengan program pembangunan akar umbi. Di bawah seliaan saya, kami telah mewujudkan pasukan bawah-16 dan bawah-14 untuk mewakili FAP.

“Pasukan bawah-16 berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan JSSL Pro-7s di Singapura, manakala pasukan bawah-14 menjadi naib juara Piala Dunia Remaja Gothia di China. Mereka adalah harapan kita untuk Pulau Pinang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pegawai dan warga FAP serta kerajaan negeri atas sokongan selama ini.

“Akhir sekali, saya juga amat berterima kasih kepada para penyokong pasukan Harimau Kumbang yang sentiasa cekal bersama pasukan tidak kira keadaan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS