24 jam sebelum Umno-BN tumbang – Bahagian Pertama

24 jam sebelum Umno-BN tumbang – Bahagian Pertama

Rutin dialisis saya pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, pukul 3 petang hingga 7 malam. Agak kerap juga proses cuci darah itu tidak cukup tempohnya. Ia terpaksa dihentikan apabila tekanan darah turun mendadak, kepala pening kuat dan penglihatan menjadi kabur teruk.

Rabu, 9 Mei, hari mengundi. Selalunya, dipilih hujung minggu, Sabtu, tetapi kali ini, PRU14, Najib Razak lebih suka pertengahan minggu. Semua maklum, bukan rahsia lagi, BN terdesak berdepan kemarahan rakyat, lalu hari mengundi juga menjadi percaturan strategi untuk kekal berkuasa. Teori mudah mengatakan, jika peratusan keluar mengundi tinggi dan ramai anak-anak di perantauan pulang membuat pilihan, nasib BN di hujung tanduk. Selepas segala taktik digunakan, termasuk diracik-racik sempadan kawasan pilihan raya – gerrymandering – disusuli peraturan yang menekan parti-parti pembangkang, khususnya Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad, hari mengundi pun dimanipulasi juga. Mungkin Najib dan penasihatnya yang ramai dan bergaji mewah itu beranggapan, Rabu akan menyebabkan jumlah yang turun mengundi merosot. Terpaksa mengambil cuti tahun dan ini “cukup leceh”.

Pejabat Perdana Menteri sendiri agak lewat mengisytihar 9 Mei sebagai cuti umum selepas didesak orang ramai melalui kempen dalam talian. Penyokong Najib juga berhujah di zaman Mahathir dahulu, ada pilihan raya diadakan pada hari bekerja. Misalnya, PRU10 yang dianggap kritikal buat BN diadakan pada Isnin, 29 November 1999, sewaktu era Reformasi. Mengapa harus ditiru kalau amalan itu ada cacat-celanya? Apa pun, Pakatan Harapan membuat tawaran lebih menarik apabila menjanjikan 10 dan 11 Mei (Khamis dan Jumaat) cuti khas jika PH menang.

Justeru, jadual dialisis saya diubah. Diawalkan ke hari Selasa dan seterusnya Khamis. 8 Mei itu seperti hari-hari lain juga. Tenang. Tiada insiden luar biasa. Orang ramai rasanya sudah membuat keputusan lebih awal, malah mungkin sebelum hari penamaan calon lagi. Dua gabungan parti bertarung; BN dan PH. Dua personaliti berlawan; Najib dan Mahathir. Tapi lebih ramai melihat PRU14 adalah pertembungan sengit di antara rakyat dan rejim kleptokrat. Saya mengharapkan agar dialisis petang Selasa itu berjalan lancar. Seperti lazimnya, isteri membekalkan saya dengan juadah nasi dan lauk yang enak. Satu kenikmatan menjamu selera semasa di atas kerusi rawatan, ketika perut lapar. Dan malam nanti dapat tidur dengan nyenyak. Sejak kegagalan buah pinggang tiga tahun lalu, tidur saya kerap terganggu. Tiga atau empat jam itu sudah terlalu lama. Lebih mudah tidur selepas matahari naik.

Tiada rakan yang menziarahi saya petang Selasa itu. Saya sekadar melayari portal-portal berita tertentu. Mengantuk tapi sukar melelapkan mata. Namun tidak sedikit kenalan yang bertanya khabar melalui WhatsApp. Bukan khabar saya tetapi perkembangan politik semasa. Hari terakhir sebelum rakyat menjadi hakim negara. Tiada tanda-tanda perubahan besar akan tercipta. Isteri saya selalu mengingatkan, tiada kocakan besar itu sebenarnya adalah satu kelebihan buat PH. “Dalam tenang, damai dan aman, kerajaan akan bertukar sehingga Najib pun tidak sempat bersedia apa-apa untuk menghalangnya,” ulangnya beberapa kali, terutama selepas kami mendengar pidato Mahathir melalui FB Live. Mahathir, juga begitu; mengulangi pesannya yang sama agar rakyat turun seramai mungkin supaya memperolehi kemenangan besar kerana jika menang dengan majoriti tipis mudah disabotaj oleh elit penguasa.

Seingat saya, sepanjang dialisis jarang sekali saya tertidur. Ngantuk macamana pun, saya cuba mengawal diri. Bimbang jika terlena, sukar menahan pergerakan tangan, yang mungkin menyebabkan anjakan jarum di lengan dan “bocor” pula nanti. Cemburu juga melihat ada pesakit yang terus tidur lena sebaik dialisis bermula. Di peringkat awal, tiga tahun dahulu, saya masih boleh membaca dua atau tiga buah buku sekali gus. Buku-buku lama yang mempengaruhi pemikiran dan aktivisme, saya ulang baca semula. Masa berlalu, perlahan-lahan saya kerap pening, tekanan darah tidak stabil dan pandangan mudah kabur. Lebih selesa menonton klip video politik atau mendengar bacaan al-Quran. Sesekali menaip artikel dengan jari telunjuk, abjad demi abjad. Buku Mengapa Mahathir? saya usahakan di atas kerusi dialisis, ketika mata kabur teruk. Itu pun untuk tempoh dua jam pertama sahaja. Justeru, agak payah untuk membuat rujukan; lebih kepada ingatan dan lintasan fikiran.

Selasa, sehari sebelum mengundi itu, menunggu proses cuci darah selesai, di bawah kedinginan yang menggigit, saya terkenang pengalaman menempuh siri pilihan raya. Seawal 1969, ketika berusia 6 tahun, ingatan berbalam-balam,
fragmen memori PRU4 muncul terpecah-pecah. Detik itu, kampung saya menyaksikan calon-calon Perikatan – Parlimen dan Dun – tumbang mengejut. Seorang daripadanya menteri kabinet yang juga Setiausaha Agung Umno. Semasa kempen, ada wayang pacak Jabatan Penerangan. Tahun itu, Kedah menempa sejarah. Pas bangkit keluar dari wilayah tradisi, Kelantan dan Terengganu, walaupun Perikatan masih mengekalkan kuasa di Jelapang Padi itu.

Selain Senu Abdul Rahman, beberapa tokoh Umno lainnya juga tewas. Dr Mahathir kalah kepada calon Pas, Yusof Rawa. Bekas Speaker Dewan Rakyat, Zahir Ismail juga tidak menang. Hatta Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman dan menteri Khir Johari, kedua-duanya bertanding di Kedah, turut mendapat tentangan cukup sengit. PRU 1969 menyaksikan Perikatan hilang majoriti dua pertiga. Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang, Gerakan, yang kemudiannya menyertai dan membentuk Barisan Nasional, bersama Pas dan PPP. Selangor dan Perak juga mencatat prestasi cemerlang oposisi. Suasananya lebih kurang sama dengan keadaan tsunami politik pada 2008.

Bagaimanapun, saya terlalu kecil untuk mengingati insiden tragik 13 Mei 1969. Baru di kelas tadika, belajar mengenal abjad. Cuma terlintas, ramai orang berkumpul di rumah saya, masing-masing berselendang penuh semangat. Tak pasti warnanya merah atau apa. Rupanya negara berdepan krisis dahsyat sebaik usai pilihan raya yang kritikal itu. Amukan politik perkauman yang membawa bencana, khususnya di Kuala Lumpur. Hantu 13 Mei juga didendangkan dalam kursus-kursus bina semangat yang saya hadiri waktu di sekolah menengah. Menyemai kecurigaan dan kebencian di antara kaum. Pelik sekali, sekolah kebangsaan yang sepatutnya menyatukan pelajar berbilang kaum boleh membenarkan program seumpama itu.

Apabila BN dibentuk, dan Pas bersama dalam kerajaan pada PRU 1974, memori saya tidak tertangkap peristiwa menarik. Mungkin jiwa dan minda saya condong kepada pembangkang, sehingga tidak terasa selesa bersama kerajaan. Rasanya PSRM mengisi kekosongan oposisi dengan Kassim Ahmad muncul sebagai wira baharu. Ramai calon BN menang tanpa bertanding. Cuma, yang menggamit ingatan, itulah waktunya kampung saya yang merupakan kubu kuat Pas sampai hari ini, menyaksikan kibaran bendera dan poster BN. Siri pilihan raya berikutnya, tiada lagi kelihatan lambang dacing walaupun Dr Mahathir menjadi calon BN dari 1974 hingga 2004.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya, BN ditumbangkan pada PRU-14 tahun lalu.

PRU 1978 didahului oleh pilihan raya umum negeri Kelantan, susulan krisis Pas dengan kerajaan pusat. Pas terpelanting keluar BN selepas undang-undang darurat diisytihar di Kelantan pada November 1977. Berlaku kacau-bilau terancang yang membuka jalan untuk Umno mengambil alih kerajaan negeri buat pertama kali sejak merdeka. Kereta diterbalik, tayar buruk dibakar, rusuhan digerak. Berjasa, parti serpihan Pas ditubuhkan, berpengkalan di Serambi Makkah itu. Pada malam keputusan PRU negeri 1978, saya tidak dapat tidur hingga ke pagi. Pas tinggal dua kerusi Dun. Saya menangis. Bagi saya, Pas telah teraniaya. Ia mahu dikuburkan dengan dua kerusi nisan itu. Hero saya waktu itu, Asri Muda, Presiden Pas, yang popular dengan kepetahannya berpidato. Sentimen amarah kepada Umno menggelegak. Biarpun perdana menteri adalah Hussein Onn, tetapi saya – melalui cerita-cerita saudara-mara penyokong setia-tradisi Pas – lebih meletakkan kesalahan kepada timbalannya, Dr Mahathir. Perpaduan Melayu yang dirintis Tun Razak terburai. Pas kembali menjadi pembangkang, dengan jumlah wakil rakyat yang kecil.

Semasa kempen PRU 1978, sempat saya mengikuti kempen di kampung sebelah, Pulau Timbul. Bertempat di dewan orang ramai, tempat saya belajar prasekolah dahulu, saya berdiri di luar bersama puluhan yang lain mendengar ceramah. Pemidato nampak amatur, agak tidak bersemangat, kurang menarik perhatian audien. Saya sudah tidak ingat butir bicaranya. Yang pasti, sasaran adalah Dr Mahathir, calon BN dan TPM. Mereka perkenal diri sebagai pemimpin mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, menyokong calon Pas, Ustaz Halim Arshat, bekas Presiden PMUKM. Halim mencipta lagenda sendiri dalam kebangkitan gerakan pelajar 1974.

Demonstrasi besar-besaran mahasiswa berlaku di Kuala Lumpur dan Baling, Kedah ekoran keresahan rakyat yang memuncak. Keadaan ekonomi, khususnya di luar bandar begitu menekan. Khabarnya, ada masyarakat luar bandar yang kelaparan susulan harga getah jatuh teruk. Ribuan pelajar ditangkap, Masjid Negara yang menjadi perlindungan demonstran digempur, kampus digeledah. Akta Universiti dipinda dan diperketat pada 1975 bagi mengongkong aktiviti mahasiswa. Menteri bertanggungjawab adalah Dr Mahathir. Justeru, pencalonan Halim Arshat, bekas Presiden PMUKM menentang Dr Mahathir di Kubang Pasu pada 1978 adalah manifestasi lanjutan perjuangan mahasiswa. Bagaimanapun Halim kalah.

PRU 1978 juga menyaksikan Presiden Pas berhijrah keluar dari Kelantan dan memilih Kedah – kerusi Parlimen Padang Terap – sebagai gelanggang pertarungan. Saya waktu itu berada di tingkatan tiga, tetapi sudah menjangkakan ia satu strategi yang silap. Sebagai ketua parti, Asri sepatutnya berkubu di kawasan asal, tidak kira sama ada Kelantan sudah
tidak selamat lagi untuknya atau tidak. Sekali melangkah keluar, ia membawa mesej petanda awal kekalahan. Saya sempat mengikuti ceramah Asri di sebuah rumah pimpinan Pas Kubang Pasu, di Kodiang, menemani abang ipar saya. Selepas makan malam bersama, saya duduk terpaku mendengar di atas rumah, berdekatan sosok Asri yang berceramah dengan bahasa yang lunak dan memikat.

Pas kalah teruk dalam pilihan raya itu. Asri tewas dengan beda lebih kurang dua ribu undi di Padang Terap. Ia sudah diduga selepas Pas tinggal dua kerusi Dun di Kelantan dalam pilihan raya negeri yang diadakan berasingan. Pembangkang didiskriminasi dan dianaktiri. Tiada padang sama rata. Media dan jentera kerajaan dimanipulasi. Namun, seperti penyokong tegar Pas lainnya, semangat saya tidak luntur. Ia asam garam perjuangan. Saya perhatikan masyarakat di kampung saya juga tetap setia dengan Pas. Kekalahan tidak pernah memalukan. Prestasi Pas di Kedah, “boleh tahan”. Beberapa kerusi Dun dapat dipertahan, termasuk parlimen Kota Setar, melalui setiausaha agungnya, Ustaz Abu Bakar Umar. Beliau pernah datang berceramah di surau kampung saya. Orangnya merendah diri dan senang didekati. Kereta Mercedesnya, parking dekat tangga surau, terbuka begitu sahaja; dua tiga orang bebas keluar masuk! Di Pulau Pinang, Pas menang di Permatang Pauh, yang kemudiannya beralih kepada kubu kuat Anwar Ibrahim, bermula 1982. Daripada 13 kerusi Parlimen pada 1974 semasa dalam BN, berkurang kepada lima pada 1978. Waktu itu, saya tetap seronok, puas hati dan bangga menjadi penyokong Pas biarpun sentiasa kalah dalam pilihan raya.

Semasa PRU 1982, saya menuntut tahun pertama, di Universiti Teknologi Malaysia, kampus Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Saya mula memahami politik pelajar tetapi lebih tertarik dengan situasi di luar. Pilihan raya pertama buat Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Banyak perubahan dicetuskan oleh pentadbiran 2M, dan disambut baik rakyat. PRU 1982 juga berlaku pada era kebangkitan semula umat Islam susulan Revolusi Iran, 1979. Ummah disuntik keyakinan baharu bahawa kuasa besar dunia, seperti Amerika Syarikat dan bonekanya, Shah Iran boleh dihalau keluar dan digulingkan oleh rakyat bertangan kosong tetapi cekal waja semangatnya. Tidak timbul isu mazhab waktu itu.

Menjelang Parlimen dibubarkan, tidak sampai sebulan daripada hari mengundi, Anwar, Presiden ABIM, isytihar sertai Umno. Dalam sidang akhbar itu, duduk rapat di sebelahnya Dr Mahathir, menandakan perdana menteri sendiri bertanggungjawab terhadap politik Anwar. Sebagai tokoh belia Islam yang popular dan pengkritik lantang kerajaan, Anwar awalnya dijangka memilih Pas. Malah beliau disebut-sebut bakal mengganti Asri sebagai Presiden Pas. Tidak pelik ramai penyokong Pas kecewa. Tindakan Anwar itu disifatkan badan-badan Islam sebagai “tidak syarie”. Bagi Dr Mahathir, Anwar adalah ayam tambatannya, menjadi perisai berdepan Pas dan era kebangkitan semula Islam. Beberapa bulan sebelum pilihan raya, Anwar hadir berceramah di kampus UTM. Sebagai pengkagum Anwar saya menekuni penuh minat pidatonya. Tertanya-tanya juga, mengapa ucapannya tidak cukup tajam dan lantang. Waktu itu tidak terlintas Anwar sudah berkira-kira untuk sertai kerajaan.

Lebih menyedihkan ahli Pas, Anwar bertanding di Permatang Pauh yang dimenangi Ustaz Zabidi Ali, wakil rakyat tunggal parti Islam itu di Pulau Pinang. Anwar menang mudah, dengan majoriti besar. Dilantik timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyelia projek-projek baharu Islam. Benar, Anwar menjadi mata tombak Umno menentang Pas. Saya masih ingat, ada majlis ceramah di Gombak; tajuknya, Pas tuduh Umno kafir, Anwar jawab. Tidak lama kemudian, saf kepemimpinan Pas mengalami perubahan besar. Asri dan regunya tersingkir pada 1983. Bagai revolusi melanda. Kepimpinan ulama menyuntik semangat dan wajah baharu Pas. Perjuangan Islam dengan pengaruh Ikhwan Muslimin Mesir dan Revolusi Islam Iran semakin menonjol.

Dalam PRU 1982 juga Dr Mahathir berjaya menebus kekalahannya pada 1969, di Kubang Pasu. Lawannya, tokoh yang sama menewaskan beliau 13 tahun sebelum itu, Ustaz Yusof Rawa. Prestasi parti pemerintah paling gemilang sejak merdeka, kecuali prestasi semasa 1974 apabila Pas dalam kerajaan. Pas hanya meraih lima kerusi Parlimen.

Pilihan raya 1986. Pas di bawah pimpinan baharu, dengan struktur agak berbeda. Golongan ulama atau agamawan mendominasi. Tokoh paling menonjol ialah Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Majlis Syura Ulamak menguasai teraju parti dan memandu arah. Pas bukan hanya dikenali sebagai parti Islam tetapi juga sebuah gerakan Islam yang turut mementingkan dakwah dan tarbiyah. Sikapnya terhadap Umno dan kerajaan juga semakin keras. Di beberapa tempat, khususnya di Terengganu, perseteruan itu bagai membina garis pemisah di antara dua parti. Timbul isu kafir mengkafir yang mencetuskan gejala dua imam, dakwaan sembelihan tidak halal dan sebagainya.

Kemuncaknya berlaku tragedi berdarah di Memali, November 1985, yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis. Saya sempat berkunjung ke pusat lokasi, rumah Ustaz Ibrahim Libya, melalui kawalan keselamatan yang cukup ketat ketika kesan darah dan peluru masih jelas berbekas. Sebelumnya, Januari 1985, pertumpahan darah berlaku di Felda Lubuk Merbau, dalam kawasan Parlimen Padang Terap, Kedah, yang menyaksikan kempen pilihan raya kecil. Seorang petugas Pas, Othman Talib, meninggal dunia akibat dipukul para penyokong Umno. Suasana kempen menjadi bertambah tegang. Sebuah buku kecil ditulis merakamkan peristiwa itu tetapi diharamkan kerajaan. Pas Kedah di bawah Ustaz Fadzil bijak mengendalikan isu kritikal ini.

Sebagai anak muda, yang mudah menggelegak semangatnya, saya tercari-cari sumber berita sahih. Saban minggu, saya ternanti-nanti kemunculan sebuah tabloid politik, Mingguan Bumi, yang dimiliki Pak Hussein Yaakob, bekas wartawan Utusan dan aktivis parti kiri. Akhbar ini menyiarkan laporan yang digelapkan media lain. Saya mencarinya daripada penjual akhbar di kaki lima menuju perpustakaan dalam kampus UTM. Waktu itu, bersama sahabat-sahabat satu jemaah, Pas, kami mengikuti perkembangan politik luar dengan penuh debar. Menteri Dalam Negeri, Musa Hitam menjadi bahan belasahan kami. Slogan “jihad jalan kami” seperti mengalir panas dalam darah.

Ceramah politik dihalang bagi mengendurkan ketegangan tetapi himpunan Pas tetap menarik audien. Pas mendekati kelompok bukan Melayu, khususnya masyarakat Tionghua, melalui CCC (Majlis Perwakilan Cina) yang mencetuskan fenomena. Menjelang PRU 1986, pimpinan Pas sibuk memenuhi undangan komuniti Cina termasuk di kuil dan tokong. Dalam masa sama, Pas digambarkan oleh akhbar harian milik Umno sebagai parti yang menolak hak istimewa Melayu. Seolah-olah Pas mahu semua rakyat tanpa mengira kaum dilayan sama rata dan saksama. Ucapan Ustaz Hadi, penceramah paling lantang, kerap dirujuk media. Kebetulan di bawah kepimpinan ulama, Pas menentang keras semangat perkauman. Salah satu ucapan dasar presiden Pas yang popular ialah Menggempur Pemikiran Asobiyah. Bagaimanapun Ustaz Fadzil, yang memegang jawatan lebih tinggi daripada Ustaz Hadi, dipercayai mempunyai pendekatan lebih sederhana dan lebih berjejak dengan realiti politik Melayu.

Ceramah Pas mendapat sambutan hangat, terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu dekad 1980-an tetapi kalah teruk pada PRU.

Pas menyertai PRU 1986 dengan semangat berkobar-kobar di bawah kepimpinan baharu pasca-Asri. Bertanding begitu banyak kerusi untuk menunjukkan komitmen serius mahu menukar kerajaan. Ada pakatan dibentuk bersama-sama parti kecil lain, seperti Nasma, PSRM dan SDP. Namun tidak ada persefahaman dengan oposisi lebih kuat, DAP. Apa pun, ceramah Pas mendapat sambutan hangat, terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kata orang, jika program besar, sehingga jam 3 pagi baru semua kenderaan dapat keluar dari lokasi ceramah. “Kalau ceramah Pas dibuat di Kuala Nerang, senget sebelah Kedah, disebabkan begitu ramai hadirin dari seluruh Kedah,” kata pemidato hebat, Mohamad Sabu. Di Pantai Barat, Pas masih dianggap asing. Di sebelah selatan, jika calon tidak hilang deposit, ia sudah dianggap menang! Boleh kenduri tumbangkan lembu.

Seingat saya, penamaan calon PRU 1986 diadakan sehari selepas demonstrasi besar-besaran membabitkan mahasiswa sekitar Kuala Lumpur di kampus UTM Jalan Gurney, berdekatan kem FRU. Perarakan bermula dari masjid ke bangunan pentadbiran sejurus usai solat Jumaat. Ia bagi membantah pemecatan saya dan pelajar berpurdah. Antara pimpinan pelajar yang terlibat ialah Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia, yang kemudianya dihukum gantung pengajian satu semester. Semasa kempen pilihan raya, ramai juga aktivis pelajar turun membantu calon Pas di Permatang Pauh, Mohamad Sabu yang menentang Anwar Ibrahim.

Mengulangi kelaziman, kempen berjalan secara berat sebelah. Oposisi bukan sahaja dinafi hak untuk akses kepada media, tetapi menjadi mangsa fitnah. Pas dan DAP diserang hebat. BN mengupah firma antarabangsa, antaranya menempah iklan karikatur dalam akhbar utama, untuk gambarkan pembangkang sebagai lidah bercabang, ular berkepala banyak yang membelit. Biarpun pembangkang tidak dapat bersatu dan lemah kekuatannya, tetapi BN tetap menyerangnya dengan sehebat-hebat senjata. Ada orang kata, pegangan Dr Mahathir adalah memusnahkan musuh walaupun kecil dengan sebesar-besar senjata.

Keputusannya mengejutkan sekali. Pas hanya tinggal satu kerusi, Pengkalan Chepa, Kelantan. Satu tamparan dahsyat kepada Pas pimpinan ulama. Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat pun kalah di Bachok. Ada laporan majalah berita luar negara, memilih tajuk sinis, “Dengan satu kerusi, Pas mahu tegakkan negara Islam.” Peratusan kerusi BN sekitar 83 peratus, jauh di atas keperluan majoriti dua pertiga, walaupun undi popularnya jatuh kepada 56 peratus. DAP mencatat keputusan agak cemerlang, meraih 24 kerusi ketika saingan terdekatnya, MCA diamuk masalah dalaman berkaitan skandal koperasi. Lim Kit Siang kekal ketua pembangkang. Anaknya, Lim Guan Eng, muncul kali pertama di Dewan Rakyat selepas mengalahkan calon MCA, Soh Chin Aun, bekas pemain pertahanan bolasepak kebangsaan yang terkenal, di Kota Melaka.

Pas tewas teruk tetapi di dalam kampus kumpulan pelajar yang menyokongnya menang besar. Saya hadir muktamar tahunannya di Rusila, Terengganu sejurus PRU 1986. Pas menyusun rentak dan pendekatan, serta mengambil iktibar kekalahan. Dalam diam, mengolah semula strategi lama yang mengasingkan diri dengan masyarakat. Imej keras diperbaiki kepada yang lebih lunak dan mesra. Akhbar musuh diboikot dan lidah rasmi, Harakah, kemudian dilancarkan pada 1987.

Saya diundang masuk Harakah oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, Naib Presiden Pas, seminggu sebelum edisi sulung diterbitkan. Pengarang pertama, Subky Abd Latiff, penulis yang saya hormati sejak lama. Tajuk muka depan keluaran julung kali itu berkaitan isu dalaman Umno, dengan paparan gambar, Harun Idris, salah seorang pemimpin Team B Umno, yang menentang Dr Mahathir. Saya bukan pemberita yang terlatih, tidak mahir menulis laporan berita, tetapi lebih cenderung menulis rencana, khususnya berkaitan dunia kampus. Subky pernah berpesan, yang dikutip daripada wartawan ulung A Samad Ismail, “kalau setakat dua tiga tahun menjadi wartawan, jangan berangan-angan untuk menulis rencana.” Harakah tiada dana untuk membiayai penerbitannya, melainkan mengharap sumbangan ahli Pas, yang mendahulukan wang langganan untuk sebulan. “Duit Pas ada dalam setiap poket ahli-ahlinya,” ungkapan keramat yang memotivasikan. Kami pekerja Harakah, untuk bulan-bulan awal, tidak dibayar gaji; hanya dapat makan secara percuma yang dibayar Harakah, di sebuah gerai kecil depan pejabat, tapak berdirinya Hospital Tawakal sekarang. Saya masih bujang dan sewa rumah pun kerap dibantu sahabat-sahabat bekas UTM.

Pemilihan Umno, April 1987 melorongkan krisis besar politik tanah air. Parti pemerintah terbahagi dua. Dr Mahathir menang tipis, hanya dibedakan 43 undi dengan Tengku Razaleigh. Team B membawa kes ke mahkamah. Dibuktikan ada perwakilan tidak sah mengundi. Operasi Lalang di bawah ISA turut dilancar, menahan lebih 100 aktivis, termasuk pemimpin utama pembangkang. Bahang perkauman terasa cukup panas. Prebet Adam mengamuk di Chow Kit. Tiga permit akhbar digantung. Akta drakonian makin diperketat. Badan kehakiman diserang hebat Dr Mahathir. Umno diharamkan tapi ramai pemerhati merasakan Dr Mahathir suka dan mendorong keputusan hakim itu bagi memudahkan strategi politiknya mematahkan gugatan Ku Li. Rayuan dikemukakan ke Mahkamah Agung. Panel sembilan hakim akan memutuskan kes berprofil tinggi itu. Krisis kehakiman tercetus.

Malaysia diserkup ketakutan. Setiap aktivis yang tidak bersama kerajaan merasakan mereka boleh ditahan tanpa bicara. Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung dipecat. Sebelumnya lima hakim tertinggi digantung. Semuanya berpunca daripada pihak eksekutif mencabul wilayah kehakiman, untuk menyelamatkan takhta seorang perdana menteri.

Suhu politik tambah panas apabila bekas menteri, Shahrir Samad meletakkan jawatan ahli Parlimen Johor Bahru, tanda protes kepada Dr Mahathir. Dalam pilihan raya kecil itu, Shahrir, calon Bebas menang besar mengalahkan calon BN. Namun, momentum kemenangan oposisi tersekat apabila BN menang dalam dua pilihan raya berikutnya di Dun Parit Raja, Johor dan Parlimen Ampang Jaya, Selangor. Di Terengganu, Pas mencipta sejarah apabila menang PRK Teluk Pasu, dengan bantuan pemimpin Team B yang membentuk parti Semangat 46. Bagai bertemu buku dengan ruas, Umno berdepan seteru yang sepadan. Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang menggabungkan parti-parti Melayu, khususnya Pas dan Semangat 46 muncul sebagai kekuatan baharu, bersama satu lagi front pembangkang, Gagasan Rakyat, yang menghimpunkan Semangat 46, DAP, Parti Rakyat Malaysia dan IPF. Pembangkang melangkah kaki ke PRU 1990 dengan keyakinan menggunung untuk menukar kerajaan persekutuan.

Berlainan dengan situasi 1986, pilihan raya kali ini, dengan kehadiran Semangat 46 yang boleh mencuri undi penyokong tradisi Umno, juga persefahaman bersama DAP walaupun dalam dua gabungan berbeda, rakyat diberi pilihan jelas. Calon perdana menteri, Ku Li, berpengalaman luas dalam kabinet, terutama sebagai bekas menteri kewangan.

Saya bertugas di Harakah, dan dapat mengikuti perkembangan kempen dari dekat. Sesekali turun membantu calon Semangat 46, Harun Idris, kerusi Titiwangsa. Pejabat Harakah dalam kawasan Parlimen ini. Saya dipaksa mengisi slot ceramah di Pasar Datuk Keramat. Dalam tergagap-gagap saya gagahi juga. Terlintas di fikiran, inilah masanya rejim lama ditumbangkan. Tempoh 1986-1990 dipenuhi segala ramuan untuk menjatuhkan kerajaan. Dalam tempoh itu juga saya menghasilkan beberapa makalah politik, antaranya Selepas 2 Tahun Memali; Demokrasi Zaman Mahathir; Islam, Kehakiman dan Kediktatoran – Kes Tun Salleh Abas. Bersama Zin Mahmud, saya menerbitkan majalah Dunia Islam berwajah baharu. Hembusan angin perubahan terasa.

Pada suatu malam, pada hari-hari terakhir kempen, di tingkat satu pejabat Harakah, kami dikejutkan dengan paparan TV yang berulangkali menyiarkan gambar Ku Li dalam program bersama pemimpin Parti Bersatu Sabah di Kota Kinabalu. Parti yang memerintah negeri Sabah sejak Januari 1985 itu keluar daripada BN dan bersekutu dengan Gagasan Rakyat. Sepintas lalu penyertaan PBS yang bertanding PRU 1990 atas logo BN itu tentu menguntungkan barisan pembangkang.
Sudah ada sejumlah kerusi “deposit tetap” dari Sabah sebelum hari mengundi lagi. Realitinya tidak semanis itu. Propagandis BN melihat gambar Ku Li dipakaikan sigah atau tengkolok Kadazan berlambangkan umpama tanda salib boleh dijadikan senjata kempen paling berkesan. Lagipun Presiden PBS yang juga Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan dikenali sebagai misionari Kristian. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Umno-BN yang terkapai-kapai di penghujung kempen mendapat talian hayat. Dengan segera, dibantu media dan jentera kerajaan dakyah Ku Li menjual agama demi kepentingan politik disebar-luaskan. Mood orang awam, khususnya masyarakat Islam, berubah sepantas kilat. Pemimpin Pas juga merungut dengan aksi Ku Li membuat persefahaman dengan PBS tanpa berunding dahulu.

Kami di Harakah agak kalut malam itu. Pimpinan Pas yang dihubungi juga tidak dapat memberi respons yang baik. Masing-masing yang giat berkempen di seluruh negara terkejut seraya menduga pengundi Melayu pasti terkeliru. Strategis Umno mengeksploitasi sentimen keagamaan semaksimum mungkin. Gambar Ku Li memakai sigah tradisi yang dipersepsikan sebagai salib itu disebar merata-rata. Di pejabat, kami menerima gambar lama menunjukkan Dr Mahathir menari, juga memakai tengkolok sama. Ia dihantar dari kediaman Ku Li di Langgak Golf, Kuala Lumpur. Sayangnya, edisi Harakah terakhir sebelum mengundi sudah dicetak. Waktu itu belum ada internet. Kami hanya menyerah kepada takdir sementara media Umno terus memanipulasi. Ulama turut terbabit sama mengulas; memberi kelebihan buat BN. Mufti tampil berfatwa menyalahkan Ku Li.

Ribuan rakyat mmbanjiri siri jelajah Pakatan Harapan menjelang PRU14.

Tengah malam itu saya teringat Ustaz Fadzil Noor, Presiden Pas yang merintis jalan membuka pintu rundingan dengan pembangkang lain. Imej sederhananya memikat hati. Saya di Pendang semasa Ustaz Fadzil mengemukakan pencalonan untuk kerusi Dun Bukit Raya dan Parlimen Pendang. Bukit Raya kawasan tradisi yang selamat, tetapi Pendang masih samar-samar dengan peluang cerah difaktorkan oleh pengundi Siam di situ. Ketika itu, idola mereka adalah Tunku Abdul Rahman Putra yang bersama Semangat 46. Sementara menunggu perisytiharan oleh SPR, saya bersembang dengan penduduk setempat. “Ustaz Fadzil boleh tidur lena, insya-Allah kita menang Pendang,” kata seorang daripadanya, dengan wajah ceria, di bawah pokok yang rendang. Pada PRU 1986, calon Pas, Phahrolrazi Zawawi kalah tipis, sekitar 800 undi sahaja. Saya amat mengimpikan Ustaz Fadzil dapat berbahas di Dewan Rakyat dan menjadi menteri besar Kedah.

Hari mengundi terasa kurang meriah. Ada petanda BN dapat kekalkan kuasa. Agak hambar menunggu malam. Benar, majoriti dua pertiga BN dipertahan. Cuma kejutan datang dari Kelantan. BN kalah semua kerusi Dun dan Parlimen. Orang Kelantan memang mahu tukar kerajaan; bersedia terima Ku Li jadi PM dan Ustaz Nik Aziz menteri besar. Ku Li, arkitek kemenangan Umno Kelantan pada pilihan raya negeri 1978 menghadiahkan atau memulangkan semula negeri itu kepada Pas. Pencapaian DAP di Dun Pulau Pinang juga memuaskan. Ustaz Hadi Awang buat pertama kali menang kerusi Parlimen Marang. Paling menyedihkan, Ustaz Fadzil kalah teruk di Pendang. Lebih tragis, undi popular Pas di Kedah lebih rendah daripada peratusan pada 1986. Bergabung tidak semestinya lebih kuat.

Saya terduduk. Impian musnah. Harapan berkecai. Bacaan saya mudah; pengundi Melayu di luar Kelantan mudah tersentuh emosi dan sentimen mereka. Sigah salib menghantui mereka. Ada peningkatan undi pembangkang di selatan tanah air tetapi tidak mencukupi untuk diterjemahkan kepada kerusi. Segala kecurangan dan rekod buruk Umno-BN dilupakan hanya kerana sigah yang dikatakan berlambang salib. Saya mententeramkan diri sendiri. Perjuangan belum berakhir. Tapak kekuatan sedang dibina.

PRU 1995 tiada apa-apa istimewanya. Mahathir masih PM dengan polisi ekonomi lebih terbuka. Ada pihak menyifatkan liberalisasi Mahathir memenuhi impian Malaysian Malaysia. Anwar timbalannya, apabila menang besar pemilihan Timbalan Presiden Umno, 1993, menyingkirkan Ghafar Baba. Selalunya BN akan menang besar selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sabah direbut semula oleh BN. Saya menulis buku politik pertama, Selepas Mahathir Peluang Pas. Andaian saya, Dr Mahathir akan berundur selepas itu. Jangkaan saya meleset.

Berlaku perselisihan faham dengan pengurusan tertinggi Harakah pada pertengahan 1993. Saya letak jawatan Pengarang Kumpulan. Berkelana sebagai penulis bebas. Menghasilkan buku-buku mengenai pergolakan dalaman Umno. Ya, BN terus bertakhta dengan menang bergaya PRU 1995. Pas kekal di Kelantan. Momentum DAP melalui projek Tanjong tersekat; prestasi terburuknya di Pulau Pinang.

Menanti PRU10, retak Umno terbelah. Krisis Mahathir-Anwar tidak dapat disembunyi lagi. Mahathir nampak mudah menjinakkan lawannya Musa Hitam dan Ku Li tetapi tidak dengan Anwar. Umno yang tidak tercabar pada PRU 1995 beralih sengketa sesama sendiri. Semangat 46 yang merosot teruk terpaksa dibubarkan, dan menyertai semula Umno. Reformasi di Indonesia yang menjatuhkan Presiden Suharto merebak ke Kuala Lumpur. Isu korupsi-kronisme-nepotisme berjangkit. Anwar dilihat menunggu peluang mengambil alih. Ketua pemuda, Zahid Hamidi bersuara lantang menegur
Mahathir di perhimpunan Umno. Ia dikatakan mewakili nurani Anwar. Selepas sambutan merdeka 31 Ogos 1998, Anwar dipecat jawatan dalam kerajaan seterusnya tersingkir sebagai ahli Umno.

Malaysia terkejut. Mungkin margastua dan hidupan laut juga terperanjat. Apatah lagi untuk sosok seorang Anwar apabila alasannya adalah salahlaku seks; liwat. Kuala Lumpur memberontak. Hujung minggu sesak. Demonstrasi jalanan menarik ribuan rakyat berarak. Rupanya Anwar punya pengkagum atau penyokong yang melaut. Sekurang-kurangnya Anwar dianggap mangsa yang dizalimi dan diaibkan. Reaksi Mahathir keras sekali. Demonstran dibelasah. Gas pemedih mata ditembak. Media diperalatkan. Mahkamah diperolok. Etika dihumban ke tong sampah. Media alternatif melalui internet menjadi wadah informasi. Saluran rasmi hilang wibawa.

Pas cepat menangkap peluang. Ternyata hubungan akrab Ustaz Fadzil dengan Anwar ketika kedua-duanya menerajui ABIM pada pertengahan 1970-an menjadi pemangkin gerakan Reformasi. Mata lebam Anwar menyemarakkan lagi amarah rakyat. Tangkapan ISA ke atas pemimpin yang rapat dengan Anwar semakin merapatkan masyarakat sivil. Banyak aktor non-politikal terserlah. Isu Anwar juga menyatukan dua parti berlainan kutub, Pas dan DAP. Buat pertama kali pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang, berceramah di markas Pas, Taman Melewar, Gombak. Harakah laris bagai goreng pisang panas. Edaran melonjak daripada sekitar 60,000 naskhah kepada 300,000. Kerajaan seperti hilang kawalan dan hilang integriti.

Disember 1998, saya mengusahakan penerbitan majalah Detik selepas berhenti Harakah sebulan sebelum itu. Ia hanya bertahan genap setahun sebelum permitnya tidak disambung (diharamkan) sebaik PRU10 berlangsung. Dr Mahathir tampak yakin BN mampu meneruskan kuasa apabila berani membubarkan Parlimen dalam keadaan Umno hilang pengaruh. Mungkin beliau membaca rentak politik pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, yang cukup risau terhadap gelombang Reformasi. Iktibar kekacauan kaum di Indonesia cukup menakutkan mereka. Dr Mahathir bergantung hayat kuasanya kepada masyarakat Tionghua.

Saya sendiri was-was dengan keupayaan Barisan Alternatif yang menggabungkan empat parti pembangkang. Pertama, proses pilihan raya yang tempang dan terbuka kepada manipulasi. Kedua, ramai pengundi baharu yang mendaftar sebagai pemilih tidak sempat disahkan. Ketiga, politik perkauman masih tebal mempengaruhi pola pengundian. Namun, harapan cukup tinggi. Inilah peluang terbaik untuk menukar kerajaan sejak merdeka. Anwar, meskipun terpenjara, adalah calon perdana menteri yang cukup popular. Pemecatannya terangkum banyak isu besar negara. Seluruh lapisan masyarakat, terutama Melayu-Islam terkesan dan mudah menangkap mesej.

Ternyata benar pengundi Malaysia tetap terbahagi dengan jalur perkauman walaupun budaya politik baharu mulai subur. Ya, isu-isu yang dibawa Barisan Alternatif merentasi soal kaum serta gender, dan melewati hal agama, sebaliknya menumpukan urustadbir baik, keadilan, hak asasi, kebebasan kehakiman dan seumpamanya tetapi belum cukup kuat untuk memikat majoriti pengundi pelbagai kaum, apatah lagi menyeberangi Laut China Selatan.

Kekecewaan terubat dengan prestasi cemerlang Pas. Daripada tujuh kerusi Parlimen meningkat kepada 27. Selain mempertahankan Kelantan, Pas mengambil alih Terengganu. BN kalah semua lapan kerusi Parlimen di negeri kaya minyak itu. Di Kedah, Pas menang lapan daripada 13 Parlimen dan 12 daripada 36 Dun. Dua kerusi Parlimen Perak turut dikuasai. Empat kerusi Dun Selangor juga diwakili Pas. Ustaz Fadzil dipilih Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Air mata mengalir meledakkan rasa terharu dan syukur amat sangat. Faktor Anwar membawa tuah. Ringkasnya, Pas menang di negeri-negeri majoriti Melayu. Kubu BN di bandar-bandar terutama Lembah Kelang pecah; mereka masih menang tetapi majoritinya tipis sekali.

Meskipun masih gagal mengubah kerajaan, hati saya berbisik, “politik Malaysia pasca 1999 tidak akan sama lagi, rakyat tambah matang dan bijaksana guna kuasa undi.” Perbahasan di Parlimen ditunggu-tunggu. Walaupun tanpa kehadiran Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang kecundang, diketuai Ustaz Fadzil dan ahli-ahli Parlimen muda seperti Mohamad Sabu, Husam Musa, Mahfuz Omar, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dewan Rakyat sentiasa bergegar. Saya tidak dapat melupakan perdebatan Ustaz Fadzil dengan penyokong kerajaan mengenai Peristiwa Memali. Hujahnya kemas, rasionalnya menikam. mematahkan pencelahan wakil BN.

Allah lebih menyayangi Ustaz Fadzil. Tidak sampai tiga tahun di Parlimen, pada 23 Jun 2002, negara kehilangan seorang pemimpin berjiwa rakyat, sentiasa merendah diri, rapat dengan setiap lapisan masyarakat. Sepanjang berada di Hospital UKM, Cheras semasa mengiringi jenazahnya untuk diterbangkan ke Kedah, saya tidak dapat menahan sebak di dada. Mata berkaca. Sepi membungkus terasa peritnya. Solat jenazah di surau berhampiran dilakukan berulang kali disebabkan begitu ramai jemaah. Dari lapangan terbang Kepala Batas, Alor Setar ke pusara di Pokok Sena, puluhan ribu
menunggu memberikan penghormatan terakhir buat tokoh tersayang. Sehari sebelum itu, 22 Jun, Dr Mahathir semasa menutup perhimpunan agung Umno mengumumkan perletakan jawatan presiden parti dan pengerusi BN. Atas desakan ramai ia ditangguhkan sehingga hujung 2003.

Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi mempunyai imej bersih, tiada ciri-ciri autokratik dan bersedia membuat perubahan. Nampak kesungguhan untuk melaksanakan reformasi ke atas badan kehakiman dan pencegahan rasuah. Rakyat Malaysia sanggup memberi peluang kepada Pak Lah. Ada penawar di wajahnya berbanding Dr Mahathir. Masa sama Barisan Alternatif berpecah. DAP menarik diri dan kembali menyendiri. Isu lama, negara Islam. Pas di bawah Ustaz Hadi mengemukakan Dokumen Negara Islam menyahut cabaran Umno. Dr Haron Din, Timbalan Mursyid Am menjadi penggeraknya. Pak Lah perkenal Islam Hadhari; sama-sama bersaing atas nama Islam. Bagai diduga, BN menang besar, dalam PRU 2004 malah menguasai lebih 90 peratus bilangan kerusi Parlimen. Satu rekod gemilang. Pas hampir hilang Kelantan. Selepas PRK Pengkalan Pasir, Pas tinggal 23 kerusi dan BN, 22; beda satu kerusi sahaja. Ada satu kerusi Pas yang dimenangi majoriti paling tipis dalam sejarah, iaitu dua undi!

PRU 2004 didahului oleh proses persempadanan semula kawasan pilihan raya penuh muslihat. Sememangnya SPR bertindak menurut telunjuk elit pemerintah. Bagaikan komponen ke-14 BN. Sempadan kerusi pilihan raya dicarik dan dilakar mengikut kepentingan untuk kekalkan kuasa Umno-BN. Gerrymandering. PRU 1999 membuktikan majoriti pengundi Melayu menolak Umno-Mahathir, maka banyak kerusi Parlimen Melayu disusun sehingga menjadi kerusi campuran. Dr Mahathir mengakui bahawa pengundi Cina bertindak sebagai penyelamat kepada BN apabila amarah masyarakat Melayu tidak dapat dibendung lagi. Contoh nyata ialah rombakan sempadan pilihan raya beberapa kerusi di Kedah, seperti Baling, Yan, Kuala Kedah dan Pokok Sena. Pengundi bukan Melayu dari kerusi bersebelahan ditambah ke kawasan berkenaan dengan andaian mereka akan mengundi BN. Terbukti BN dapat merebut balik kerusi tersebut. Selain itu, jumlah pemilih di Terengganu juga bertambah luar biasa sebagai taktik BN menawan semula negeri itu. Royalti petroleum juga ditarik balik, bagi mendera kerajaan Pas pilihan rakyat.

Pada awalnya rakyat seperti mahu melancarkan protes dan penentangan terhadap SPR. Pas menubuhkan pusat aduan mengumpulkan maklumat tentang ketempangan pilihan raya. Saya hadir seminar sehari mengenainya di Petaling Jaya. Satu himpunan besar-besaran dirancang di depan pejabat Suhakam, tetapi dibatalkan. Dalam satu sidang meja bulat di Hotel Vistana kemudiannya, saya persoal, “pelik sekali, kita seperti menyerah tengkuk untuk disembelih, tak buat apa-apa sebelum PRU 2004 walaupun sudah maklum komplot jahat SPR-BN.” Saya bersama pihak yang mencadangkan pembangkang memboikot pilihan raya sehingga ia diperbetulkan. Seperti diduga proposal itu ditolak mentah-mentah. Pemimpin tinggi BA selama ini mendapat untung besar dari pilihan raya, termasuk menguasai kerajaan negeri. Tentu dapat diagak pendirian mereka, ‘kan? Bagi saya, pemulauan itu sekadar untuk mengoptimumkan bantahan dan meningkatkan tekanan, khususnya di peringkat antarabangsa.

Media Melayu yang mempromosi Barisan Alternatif juga dihukum ekoran keputusan PRU 1999. Majalah Detik dan Wasilah diharamkan, begitu akhbar Mingguan Eksklusif tidak disambung permit. Harakah yang dicetak hampir 400,000 naskhah setiap dua kali seminggu dikurangkan kekerapannya, menjadi dua kali sebulan. Makalah politik tanpa lesen dirampas. Ceramah disekat. Maknanya, saluran politik orang Melayu menghadapi hambatan yang sulit.

Namun begitu, zon selesa Pak Lah tidak lama. Harapkan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Meskipun pembangkang boleh dijinakkan, gelombang Reformasi dikendurkan, tetapi muncul pula cabaran dalaman. Dr Mahathir tampil sebagai pengkritik paling lantang. Beliau menjelajah seluruh negara mendesak Pak Lah letak jawatan. Saya hadir hampir semua programnya yang membelasah PM, bermula di Taman Melawati, Kota Bharu, Alor Setar dan Damansara. Di lapangan terbang Pengkalan Chepa, saya menjadi saksi mata dari jarak dekat apabila Dr Mahathir menjadi sasaran semburan yang memedihkan mata. Pak Lah walaupun mempunyai imej bersih tetapi diselaputi perwatakan pemimpin yang lemah, karektor tidak tegas, sering dilihat tertidur, dikuasai penasihat dari anggota keluarganya. Dr Mahathir sering berkata, “kita bagi kuasa kat dia, tapi dia serahkan kuasa pada orang lain pula.” Dalam banyak keadaan Pak Lah tidak mempedulikan kecaman Dr Mahathir itu. Namun, perlahan-lahan persepsi awam kepadanya tambah buruk. Kualiti kepimpinannya dipertikai biarpun dia masih diakui sebagai insan yang baik, tiada ciri autokratik atau bersikap diktator.

Selain siri kritikan keras Dr Mahathir, demonstrasi raksasa Bersih pada hujung 2007 mengocak suasana yang nampak stabil. Dikatakan hampir 100,000 berkumpul dan berarak di tengah kota raya menuntut pembaharuan dalam sistem dan proses pilihan raya. Tidak lama sebelum itu, lebih 2,000 peguam berarak di Putrajaya memperjuangkan reformasi badan keadilan. Tanpa publisiti besar, satu himpunan masyarakat India, hampir 50,000 orang, di bawah Hindraf, mengejutkan jantung Kuala Lumpur. Menyokong tuntutan Bersih, saya turut sama berada di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan bangunan KWSP, berdepan tembakan gas pemedih mata. Sempat berbicara pendek dengan Dr Syed Husin Ali. Sekatan polis di setiap pintu masuk KL. Terasa bangga dan syukur dapat hadir dengan hasrat berarak ke Istana Negara. Petang itu hujan rintik-rintik. Menapak dari Sogo, ketika menghampiri Masjid Negara, peserta demo dari Istana Negara sudah bergerak balik. Dapat berjumpa ramai kenalan lama dari seluruh pelosok tanah air. Kami berpelukan. Terasa basah peluh dan hujan. Semangat dan keyakinan baharu berbaur. Puas. Terdetik, inilah kebangkitan rakyat berbaju kuning. Tanpa mengira agama dan kaum. Rakyat Malaysia sudah bersuara lantang.

PRU 2008. Saya masih mengundi di kampung halaman, Dun Bukit Kayu Hitam dan Parlimen Kubang Pasu. Malam 8 Mac, saya memandu balik kampung dari Ampang, bersama keluarga. Tidak terasa langsung angin perubahan mula bertiup. Sepanjang kempen, saya lebih sibuk menguruskan akhbar parti dan penerbitan khas bagi menampung kelompangan penerbitan Harakah dua kali sebulan. Sesekali keluar meninjau di luar tetapi gagal mengesan kelainan.

Di beberapa perhentian RnR, Lebuh Raya Utara Selatan kenderaan bertali arus mencari parking. Pemandu pasti letih dan mahu melepaskan lelah. Selepas membeli potongan buah-buahan dan bersantap nasi lemak bungkus disulami kopi O pahit, saya bergegas ke kereta. Bertembung dengan rombongan masyarakat India. Terpaku mata dengan sosok seorang gadis manis India. Berseluar jean ketat, kemeja-T cerah tapi berselendang bendera Pas menahan sejuk malam. Mereka berlenggang ceria sambil riuh bersembang. Saya agak hairan, Pas disokong dengan bangga oleh bukan Islam tapi masih gagal mengesan perubahan besar mungkin melanda. Siapa sangka, tembok kebal BN, yang menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen empat tahun lalu, bakal robek.

Ketika mula menyambung perjalanan ke utara dalam hujan gerimis itu, terlintas gagasan Pas For All dan kewujudan Kelab Penyokong Pas di kalangan bukan Islam. Namun, saya tetap percaya BN masih boleh menang besar. Tiada riak atau petanda jelas yang membawa mesej pembangkang – Pas, PKR dan DAP – diterima ramai, apatah lagi tiada front formal yang mengikat, kecuali persefahaman untuk tidak bertanding sesama oposisi. Sampai di rumah, empat jam kemudian, suasana sunyi sepi menjelang Subuh. Saya terlelap selepas solat. Terjaga, tetapi masih pening dan letih. Lewat tengah hari baru saya dan isteri ke Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, sekitar 1 km dari rumah pusaka. Enam tahun saya belajar di situ. Tempat mengundi adalah kelas darjah enam dahulu. Terkenang demonstrasi Bersih November 2007. Segera saya bertekad melakukan aksi protes susulan, sambungan desakan sistem pilihan raya adil dan bebas.

Tanpa rancangan awal, saya mengoyak kertas undi dan memasukkan dalam peti. Hadirin sekeliling terkejut. Isteri pun terkedu. Dengan muka selamba saya keluar. Harakahdaily menyiarkan insiden itu. Sepasukan polis tiba untuk mengetahui isu sebenar.

Malam itu, saya kurang percaya dengan khabar yang disampaikan teman-teman dari Ipoh, Ampang dan Alor Setar. Berdepan kaca TV sambil berbaring di ruang bawah rumah kampung, telefon bimbit kerap berdering. Ramai ingat saya paling cepat mendapat info terkini. Mereka bertanya, benarkah BN tumbang di empat negeri dan Kelantan kekal milik Pas? Saya mengucap syukur tetapi mengingatkan agar disahkan dulu berita kemenangan itu. Mudah dan cepat mensahihkan kekalahan BN di Kedah. Ramai kawan-kawan merupakan pimpinan Pas negeri. Dari Selangor juga senang dipastikan; Khir Toyo bukan menteri besar lagi. Teringat kes-kes rasuahnya yang saya adukan kepada ibu pejabat BPR Putrajaya dan cawangan negeri di Kompleks PKNS Shah Alam (sebelum bertukar nama SPRM). Wartawan Harakah Perak, Johari Jaafar menyampaikan kejutan. Bukan satu, tetapi dua. Pertama, sah BN tumbang. Kedua, menteri besar mungkin dipilih daripada Adun Pas. Subhanallah.

Segera minta abang saya, Cikgu Adnan Othman, yang sama-sama mengikuti keputusan PRU 2008 melalui TV, menemani ke Kompleks Pas Kedah, 9 batu ke selatan Alor Setar. Mengucapkan tahniah kepada Ustaz Azizan Abdul Razak, Pesuruhjaya Pas Kedah, di bilik kerjanya. Siapa lagi kalau bukan dia calon MB. Sempat Ustaz Azizan menyindir sambil ketawa dengan gelagat saya mengoyak kertas undi tengah hari tadi. “Kalau kerana hilang satu undi enta kita kalah di Bukit Kayu Hitam, siap enta,” katanya bercanda. Setelah selesai sidang akhbar, kami terus balik, melalui pinggir pekan Alor Setar yang sudah sepi. Air mata deras tumpah ketika melintasi pejabat Pas lama, berdekatan Pusat Dakwah. Banyak kenangan tersimpan di sini. Tergambar jernih wajah Almarhum Ustaz Fadzil, tokoh yang memperkukuh pengaruh Pas Kedah. “Sayang, Ustaz tidak sempat menikmati saat indah ini,” bisik hati saya. Saya perhatikan rumah-rumah di kiri kanan jalan sudah gelap tidak berlampu. Mungkin ramai penghuninya bermimpi indah-indah. Kedah dapat kerajaan baharu tanpa diduga.

Hingga lewat malam, terasa puas membaca pesanan SMS, yang bertubi-tubi masuk. Majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan. Pembangkang menang besar di Pulau Pinang. Terbayang, bekas banduan, Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP, bakal ketua menteri. Saya antara ribuan berasak-asak di pintu penjara Kajang menyambutnya keluar dahulu. Pas mendakap 23 kerusi Parlimen. Tiga jawatan MB diserahkan kepadanya. Nikmat apa lagi yang mahu dikufuri? Segala pedih dan perit terubat sudah. Peluang terbuka buat Pas membuktikan ia mampu menerajui kerajaan negeri secara lebih telus, bersih dan berintegriti.

Malangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama. Belum berusia setahun, ia dijatuhkan apabila dua Adun PKR dan seorang Adun wanita DAP keluar parti, menjadi mesra-BN. Ura-ura sebilangan ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan baharu tidak menjadi. Secara prinsipnya, saya tidak gemar dengan aksi lompat parti, apatah lagi mengakibatkan peralihan kerajaan. Kedah juga agak tergugat tetapi dapat dikawal. Saya hadir Himpunan Hijau di Stadium Darul Aman; terasa kerdil dihimpit lautan manusia, lebih 70,000. Malang sekali, Jelapang Padi berkocak kuat ekoran pergeseran dalaman Pas.

Di penghujung penggal, keghairahan untuk menguasai Putrajaya semakin terasa. Cuma khuatir, pengundi Melayu yang tidak selesa dengan isu-isu sensitif berkait perkauman lebih selesa dengan kerajaan Umno-BN sedia ada. Pakatan Rakyat ditohmah dikuasai DAP. Pas mula renggang dan timbul beberapa persoalan survival Melayu-Islam, yang sengaja direkayasa.

Rekod PRU 2008 menunjukkan kemaraan bergaya pembangkang. Lima negeri ditawan. Majoriti dua pertiga BN runtuh. Gabungan formal Pakatan Rakyat dibentuk. Perdana Menteri terpaksa berhenti dan diganti Najib Razak. Akur dengan tekanan dalaman. Maka sasaran seterusnya Pakatan hanya satu, memimpin kerajaan pusat. Secara peribadi, saya sendiri was-was dengan upaya pembangkang. Pakatan Rakyat gagal mencapai konsensus menamakan calon perdana menteri. Ketua pembangkang, Anwar tidak dapat sokongan jitu Pas. Ada usaha membawa Ku Li sebagai calon pilihan tetapi gagal. Malah cadangan itu saya sifatkan sebagai mengarut. Masing- masing parti masih bertanding atas logo parti sendiri.
Apa pun kerisauannya, harapan menjatuhkan BN tetap tinggi. Saya tetap percaya, politik Melayu selepas 1999, era Reformasi, tidak akan sama lagi. Mereka lebih matang dan berinformasi. Zaman langit terbuka, bertambah ramai kelas menengah dan peningkatan pendidikan mempercepat proses pendemokrasian. Najib serba-salah memilih tarikh pembubaran Parlimen. Tiada perangkap boleh dipasang. Akhirnya tarikh luput datang sendiri.

PRU 2013, saya mengundi di Ampang. Berpindah dari kampung halaman ke rumah kediaman. Sebelum ini, saya merasakan membuang undi di Selangor membazir. Kedah lebih berpotensi untuk menang. Namun PRU12 membuktikan tsunami Cina memberi impak besar kepada negeri-negeri Pantai Barat. Tiada lagi kubu kebal BN di mana-mana negeri, termasuk selatan tanah air. Umno mungkin masih boleh peralatkan sebahagian penduduk desa atau penempatan Felda. Lambat-laun, proses urbanisasi, ditambah dinamika politik, bakal mengheret Umno-BN terjunam.

Siri perhimpunan BERSIH di ibu negara berlaku menjelang PRU13.

Mei 2013, PRU13 berlangsung. Ramai kawan berkongsi mesej; tekad yang tinggi untuk melihat rejim BN terlungkup. Kali pertama dakwat kekal dicalit di kuku. Pembaharuan untuk elak undi berulang. Sekitar jam 10 pagi ketika baru keluar rumah ke tempat mengundi di Taman Watan, saya menerima telefon dari Perlis, Ustaz Haron Din. Dia minta saya dedahkan dalam portal Harakahdaily bahawa dakwat di hujung jari itu tidak kekal. Tanggal dengan mudah bila dibasuh. “Ini berlaku kepada saya sendiri,” beritahu Ustaz Haron.

Semasa mengundi, saya perhatikan orang ramai tenang menunaikan tanggungjawab. Tiada tanda-tanda kerajaan negeri bertukar, malah mungkin Pakatan menang lebih besar. Cuma saya masih ragu kemungkinan kita beroleh perdana menteri baharu. Usai memangkah saya mengajak isteri dan anak-anak makan roti nan, chicken tikka dan beriani di Restoran Umar Khayyam, Medan Tuanku, tengah bandaraya. Restoran Pakistan yang tersedap bagi kami sejak 15 tahun lalu. Pelanggan lain, satu keluarga India tiga beranak menunjukkan tanda bagus ketika kami duduk bersebelahan, sambil bersuara agak kuat, “Ini kalilah.” Kalimat atau slogan perubahan. Saya mengangkat tangan sambil menggenggam padu. Namun, nurani saya masih berbelah-bahagi tentang reaksi majoriti rakyat pada hari mengundi itu. Kelebihan masih di pihak Umno-BN yang boleh memperalatkan apa sahaja sumber dan aset, apatah lagi proses pilihan raya mudah dimanipulasi dan ditipu.

Malam itu macam biasa sahaja. Walaupun masih mengharap, perasaan saya agak damai dan tenteram. Tidak bergolak. Tiada debaran. Benarlah bisikan hati. Saya perlu menunggu lima tahun lagi untuk mendengar berita kerajaan bertukar. BN kekal berkuasa walaupun kurang tujuh kerusi Parlimen. Pakatan Rakyat tambah tujuh, menjadi 89. Buat pertama kali peratusan undi popular Pakatan melebihiBN; 51 peratus berbanding 47. Malang penguasaan negeri berkurang; Perak dan paling menyedihkan, Kedah, direbut BN. Pas juga tinggal kerusi Parlimen tunggal di Pokok Sena, melalui kemenangan Mahfuz Omar. Di Dun Selangor, Pas menambah tujuh kerusi menjadi 15, melebihi PKR. Di kubu tradisi Umno, Johor, kerusi Dun Pas meningkat kepada empat.

Tidaklah kecewa sangat dengan keputusan itu disebabkan harapan saya pun bukan terlalu tinggi. Saya gagal menghayati impian besar penyokong Pakatan sehingga tidak sedar, tiga hari kemudiannya ada perhimpunan raksasa di Stadium Kelana Jaya. Membantah keputusan PRU 2013 yang dianggap sarat dengan penipuan dan penyelewengan. SPR menjadi sasaran kemarahan. Anak jiran saya, seorang Cina, yang tidak menunjukkan minat dengan politik, berbanding bapanya yang merupakan rakan baik saya, turut memeriahkan himpunan bertemakan gelap pekat itu. Rupanya majoriti masyarakat Cina memendam cita-cita setinggi langit untuk menukar kerajaan. Mereka rela pulang dari luar negara, semata-mata untuk mengundi dan segera pulang ke tempat asal pada hari sama. Tanpa persiapan dan rancangan rapi, Kelana Jaya “bergelap” membantah keputusan PRU13.

Saya hanya dapat hadir himpunan Black 505 tidak lama kemudian, di Padang Merbok, dekat bangunan Parlimen. Mengheret kaki dari Kompleks Pertama, saya bertongkat lemah, ditemani sahabat karib, menapak ke lokasi. Tiba di bulatan berdepan Bank Negara, terasa longlai dan terpaksa duduk berlunjur di bahu jalan. Aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim singgah bertanya khabar. Ramai juga kenalan bertegur sapa. Mereka nampak bersemangat tetapi ada garis luka di wajahnya, menyimpan kecewa. Suasana agak hambar. Nada pidato dari kejauhan terdengar tinggi-rendah. Tiada sorakan bergemuruh seperti selalu. Saya jangka hadirin mungkin penat; momentum amarah 5 Mei 2013 sudah merosot. Saya tidak mampu lama duduk. Berbisik kepada sahabat peneman, “kita pekena nasik kandaq Kudu.” Perlahan-lahan kami bergerak bersama ramai lagi peserta himpunan yang nampak letih. Saya membuat penilaian awal. Black 505 adalah himpunan protes paling tidak bermaya!

Waduh, jauh betul kembara lintasan fikiran saya petang Selasa 8 Mac itu. Hinggakan nasi yang dititip isteri, masakan ala-Minang hanya sedikit disentuh. Sambal merah yang menjadi kesukaan saya pula hari itu berbaki sejemput. Selalunya sewaktu dialisis, selera saya tinggi. Apa sahaja juadah terasa sedap di lidah. Anugerah Allah untuk pesakit yang sering “tidak lalu” makan. Anak lelaki sulung saya, Ahmad Luqman Hakim sedia menunggu membawa pulang, meredah kesesakan MRR2 dari Hulu Kelang ke Ampang. Saya sempat membalas WhatsApp sebelum melangkah masuk kereta. “Aku tak ke mana malam ini, lagipun lesu dialisis ini hanya lega bila bangun subuh esok. Tapi ucapan Mahathir di Langkawi, tak akan aku lepaskan. Nak tengok kempen terakhir dia,” respons saya kepada pertanyaan seorang kawan baik tentang aktiviti pada malam itu, menjelang hari penentuan esoknya.

Matahari hampir terbenam ketika kami keluar Taman Melawati. Penglihatan saya yang terganggu oleh diabetik retinopati semakin samar-samar untuk menangkap imej sepanjang jalan. Apa pun kibaran bendera biru muda PKR, lambang bersama Pakatan Harapan, nampak memantulkan rona ceria. Saya suka menatapnya walaupun suasana makin gelap. Waktu kempen hampir berakhir. Tiada petanda Najib dan rejim “Cash is King” mengakui mereka sedang menuju jalan mati.

Rosmah tiba ke pejabat JSJK untuk soal siasat ekoran rampasan terhadap barangannya sebelum ini.