Malaysia Dateline

2,400 sekolah menengah seluruh negara akan didedahkan dengan pendidikan pengundi

Sebanyak 2,400 sekolah menengah di seluruh negara akan didedahkan dengan modul pendidikan berkaitan pengundi sempena pelaksanaan undi 18 tahun.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun di ibu pejabat SPR, di Putrajaya, hari ini.

Pada tahun lepas, Azhar berkata, pihaknya telah melaksanakan program percubaan pendidikan pengundi di sekolah dan sambutan amat menggalakkan.

“Sambutan yang diterima memang amat menggalakkan. Susulan itu SPR menerima banyak permintaan bertulis daripada sekolah-sekolah lain untuk sesi simulasi yang sama.

“Modul berkaitan pendidikan pengundi telah pun siap. Kita akan siarkan modul itu secara umum bagi memastikan ketelusan SPR dalam sesi penerangan berkenaan.

“Kita mahu didik mereka (pelajar), bukan doktrin sesiapa. Pendidikan pengundian adalah keutamaan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berkaitan Pilihan Raya (JKPK Pilihan Raya) dan Pelantikan Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JKPK JUPA).

Ditanya adakah program pengenalan pendidikan pengundi itu hanya untuk pelajar tingkatan 4, Azhar menjelaskan perkara itu secara terperinci.

“Tahun lalu, mata pelajaran mengenai perkara-perkara demokrasi ini diajar kepada pelajar tingkatan 5.

“Tetapi, sekarang ini mata pelajaran tersebut telah dipercepatkan dalam tingkatan 4. Kita akan tumpu kepada pelajar tingkatan 4 kerana kami tidak mahu mengganggu pelajar tingkatan 5 kerana mereka mempunyai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelasnya.

Pada Julai tahun lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.