Malaysia Dateline

24,197 bekalan dadah untuk penagih dirampas, suami isteri dicekup dalam 2 serbuan

Sebanyak bekalan dadah cukup untuk bekalan kepada 24,197 penagih dirampas melalui dua serbuan yang dibuat pihak polis.

Bekalan dadah yang dirampas itu hasil kegiatan sepasang suami isteri yang menjadikan sebuah rumah sewa sebagai makmal memproses dadah di Balik Pulau.

Selain merampas dadah turut dirampas adalah peralatan memproses dadah bernilai RM81,330 yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut serta BSJN IPD Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan di Gelugor jam 8.30 malam, dan hasilnya, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 43 tahun bersama isterinya, warga asing berusia 30 tahun.

Pemeriksaan menemukan empat paket plastik mengandungi heroin.

“Dengan dipandu arah oleh suspek lelaki itu, kami menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas pada jam 10.30 malam. Kediaman terbabit dijadikan makmal memproses heroin.

“Kami turut merampas heroin, pil yaba dan serbuk disyaki kafein selain peralatan serta bahan kimia bagi memproses dadah,” katanya dipetik Harian Metro.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil risikan mendapati, sindiket itu aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak awal Januari lalu.

Katanya, dadah dirampas cukup untuk bekalan 24,197 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek lelaki yang bekerja sebagai penyembelih ayam positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Suami isteri itu direman sehingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Kami masih menyiasat bagaimana mereka mempelajari cara menghasilkan dadah selain mengenalpasti pembekal bahan mentah untuk menghasilkannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan rampasan kenderaan bernilai RM27,000.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM108,330.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, BSJN IPD Timur Laut sudah menahan 2,291 individu yang terbabit dengan kesalahan dadah.

Daripada jumlah itu, 585 terbabit dengan bekalan, memiliki dadah (1,037), akta racun (105), penagih (543) dan 21 berkaitan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) (21).

Baca juga: Adakah Bajet 2023 masih sah dan boleh terpakai?

Baca juga: Jeans Levi’s dilelong dengan harga RM410,000