Malaysia Dateline

247 penguatkuasa JKN Kelantan pantau Bazar Ramadan

Seramai 65 pasukan pemantau dengan 274 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan ditugaskan melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan dan penjaja sementara di jalanan di seluruh daerah.

Pengarah JKN Kelantan Dr Zaini Husin berkata ia bertujuan memastikan makanan yang dijual selamat dimakan dan tidak menjadi punca penyakit bawaan air dan makanan seperti demam kepialu, taun dan keracunan makanan.

“Untuk tiga hari pertama puasa tahun ini, tujuh notis kompaun 32B Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada peniaga yang ingkar.

“Ia membabitkan Perkara 11 iaitu tiada suntikan anti vaksin tifoid (satu kes), Perkara 32 membabitkan pakaian pengendali makanan (empat) dan dua kes di bawah Perkara 33 berhubung kebersihan diri pengendali makanan,” katanya dalam ucapan perasmian Bazar Ramadan Kelantan Gerbang Makanan Sihat 2020 Lazat, Selamat, Berkat di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Natrah Abu Bakar.

Dr Zaini turut menasihatkan pengguna menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau Jabatan Kesihatan Negeri jika mendapati penjualan makanan yang tidak bersih di tempat mereka.

“Aduan juga boleh disampaikan melalui laman sesawang http://jknkelantan.moh.gov.my/v3 atau Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan https://www.facebook.com/HealthofKelantan,” katanya.- BERNAMA