Malaysia Dateline

249 kematian hari ini, kes maut di luar hospital meningkat

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal melebihi 200 kes hari ini, dengan pertambahan kes kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan 249 kes kematian Covid-19 direkodkan hari ini, merangkumi 198 rakyat tempatan dan 51 warga asing.

Sebanyak 74 peratus iaitu 184 daripada 249 kes kematian hari ini membabitkan individu yang mempunyai sejarah penyakit.

Daripada jumlah korban hari ini, sejumlah 80 kematian adalah kes BID membabitkan 46 rakyat tempatan dan 34 warga asing, meningkat berbanding 65 kes BID semalam.

Pertambahan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kepada 17,191 kes atau 0.96 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dikesan.

Dalam masa sama, seramai 1,001 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 470 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.