Malaysia Dateline

2,500 jangkitan baharu Covid-19, kes kematian harian naik hampir 70 peratus

Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini direkodkan sebanyak 2,500 kes iaitu turun berbanding 3,418 kes semalam.

Pertambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik tersebut di negara ini mencecah 417,512 kes.

Selangor masih kekal menjadi negeri mencatatkan pertambahan kes jangkitan baharu harian tertinggi dengan 637 kes baharu diikuti Kelantan (401 kes), Sarawak (356) dan Johor 205 kes.

Hanya dua negeri tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes hari ini iaitu Labuan dan Perlis.

Sementara itu, laporan mingguan situasi Covid-19 bagi minggu 17 iaitu 25 April hingga 1 Mei lalu menunjukkan peningkatan antara 5.5 hingga 69.6 peratus bagi enam perkara berbanding minggu 16 (18 April hingga 24 April).

Berdasarkan perkongsian Kementerian Kesihatan (KKM) di Twitter hari ini, kumulatif kes Covid-19 meningkat 5.5 peratus manakala kes baharu naik sebanyak 22.7 peratus.

Sementara itu, kumulatif kematian bertambah kepada 6.7 peratus dengan kes kematian harian melonjak sehingga 69.6 peratus.

Begitu juga kes pesakit dirawat di ICU meningkat kepada 25.2 dan bilangan pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan naik 38.7 peratus.