Malaysia Dateline

25,000 peniaga burger terjejas bisnes hingga jam 8 malam, dakwa penyokong Pas

Penyokong Pas yang kontroversi, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut tampil mengkritik pengumuman terbaharu kerajaan berhubung langkah memperketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Usahawan burger yang tahun lalu tular apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat itu mendakwa operasi kedai makan hingga 8 malam akan menjejaskan pendapatan golongan peniaga burger akibat pelaksanaan mulai lusa itu.

“25,000 peniaga burger terjejas, jam 8 (malam) belum boleh buat jualan,” luahnya di Facebook.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi perniagaan di seluruh negara dihadkan dari 8 pagi sehingga 8 malam sahaja mulai 25 Mei.

Dalam sidang media semalam juga, menteri Umno itu berkata, kerajaan akan menghadkan masa operasi sektor ekonomi bagi mengurangkan pergerakan orang ramai.

Sehubungan itu, Asri, 43, berharap kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan itu memandangkan majoriti peniaga burger bergantung pada jualan harian untuk sara keluarga.

“Bukan semua orang rezeki siang hari, ada yang rezekinya di malam hari,” kata pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia itu lagi.

Asri Janggut