Belanjawan Alternatif PH akan hapuskan GST

Belanjawan Alternatif PH akan hapuskan GST

Pakatan Harapan (PH) akan memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Dalam Belanjawan Alternatif PH 2018 yang dibentangkan hari ini, Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata,cadangan menghapuskan GST bukan tindakan populis tetapi berakar umbi dalam keperluan untuk meremajakan penggunaan.

“Niat kami adalah untuk mengembalikan RM25.50 bilion ke dalam ekonomi dan membantu meringankan situasi suram ekonomi bagi semua orang,” katanya.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR juga berkata, PH turut bercadang mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak penting dan mengurangkan anggaran belanja beberapa kementerian, khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sejajar dengan itu, kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan pembaziran dan rasuah, dengan itu mewujudkan anggaran yang lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, PH berjanji akan menghapuskan semua caj tol yang dikenakan kepada rakyat dan membeli semula semua konsesi lebuh raya.

Ia dilihat lebih efektif daripada terus membayar pampasan berbilion ringgit kepada syarikat konsesi.

Selain itu, ia akan dapat mengurangkan kos-kos perjalanan dan pengangkutan.

2.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 4.0