Malaysia Dateline

2,593 kes baharu tertinggi direkodkan hari ini, 13 kluster baru

Hari ini Malaysia telah merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,593 kes.

Pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 125,438 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 24,347 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,589 kes.

Bagaimanapun, negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 965 kes (37.2 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 894 kes (92.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah sebanyak 405 kes (15.6 peratus).

Sehingga hari ini terdapat 141 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 513 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

561 kluster telah dilaporkan termasuk 13 kluster baharu pada hari ini.

Namun, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 309 kluster, termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kobena, Kluster Mengketil, dan Kluster UD SS2.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 252 kluster.

Bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,129 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 100,578 kes (80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).