26 laporan dibuat, 10 kertas siasatan dibuka sejak mula kempen, kata PDRM

26 laporan dibuat, 10 kertas siasatan dibuka sejak mula kempen, kata PDRM

Dalam masa kempen yang berbaki  tujuh jam lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 26 laporan dan 10 kertas siasatan dibuka untuk diambil tindakan pendakwaraya sepanjang kempen diadakan sejak 5 Jun lalu hingga berakhir tengah malam ini.

Pegawai Perhubungan Media PDRM, PRK Sungai Besar, ACP Khalil Ariffin berkata, keseluruhannya keadaan keselamatan antara calon dan pengundi berada dalam keadaan terkawal dalam tempoh kempen calon yang bertanding.

“Pihak polis telah bersiap sedia seramai 3,500 pegawai memastikan semua berjalan lancar pada hari pembuangan undi esok.

“Sejak hari penamaan calon pihak keselamatan telah membuat kawalan keselamatan dengan Ronda-ronda Cegah Jenayah bagi memastikan dalam tempoh berkempen keadaan terkawal.

“Keadaan begitu baik saya rasa kita akan dapat lakukan yang sama pada hari pembuangan undi esok juga diharap berjalan lancar,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam petang ini.

Beliau juga mengingatkan calon dan parti yang bertanding agar mematuhi masa berkempen yang akan berakhir pada jam 12.00 tengah malam ini.

Manakala bagi pengundi pihak polis turut menasihati agar dapat keluar awal untuk membuang undi pagi esok.

Pusat membuang undi di 30 Pusat Daerah Mengundi (PDM)  di Sungai Besar akan dibuka pada jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.

“PDRM ingin menasihatkan pengundi supaya dapat keluar awal esok bagi mengelak kesesakan di PDM dan cuaca yang tidak menentu di sebelah petang

“Bagi pengundi di luar daerah agar mereka pulang awal ke Sungai Besar.

“Bagi pengguna jalan raya dinasihatkan mengambil laluan alternatif untuk ke Teluk Intan. Ini kerana di sekitar Tanjung Karang ada pembaikan di bahu jalan  di beberapa kawasan sehingga ke Sungai Besar dijangka  akan berlaku kesesakan sepanjang laluan itu,” ujarnya.

Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Amanah, Ustaz Azhar Ab Shukur dengan calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang juga Adun Meru serta calon BN, Budiman Zohdi yang merupakan Adun Sungai Panjang.

Esok seramai 42,655 pemilih bakal membuang undi dengan 67.16 peratus daripada mereka merupakan pengundi Melayu manakala Cina 30.70 peratus, India 1.92 peratus serta lain-lain 0.23 peratus.

COMMENTS

Wordpress (0)