Malaysia Dateline

26 sertai biro profesional muda PKR

Seramai 26 orang golongan profesional muda menyertai Biro Profesional Muda di bawah sayap pemuda PKR.

Mereka yang berbilang kaum itu terdiri daripada jurutera, akauntan, jururunding, pensyarah, peguam dan sebagainya.

Majlis meraikan kemasukan kumpulan professional sebagai anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Nasir dalam ucapannya berkata, biro itu penting menjadi wadah buat golongan profesional muda terlibat dalam politik dan keputusan penting di peringkat negara dan parti.

Turut hadir Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Akmal Nasir

Akmal juga menegaskan nilai berpegang pada prinsip ketika ditanya media sama ada AMK akan membantah jika ada ahli Parlimen kerajaan yang terlibat perbicaraan kes rasuah menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Sebab itu saya rasa, dalam isu sekarang kita tengok daripada kelangsungan profesional anak muda tadi. Jadi perbincangan hari ini memang kami lihat dari kerangka yang besar.

“Berbalik soal prinsip, kita kena pegang dengan prinsip,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Beliau turut menekankan kepentingan vaksin Covid-19 ketika negara telah mencatatkan jumlah 133,559 kes positif virus itu dan 542 kes kematian sehingga semalam.

“Jadi, tanggungjawab saya adalah memastikan anak muda ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan Covid-19 belum selesai,” kata Akmal lagi.