Masyarakat antarabangsa digesa campurtangan dalam isu Rohingya

Masyarakat antarabangsa digesa campurtangan dalam isu Rohingya

Delegasi Persatuan Anggota-anggota Parlimen Malaysia mengalu-alukan usul untuk mendesak semua pihak terutamanya masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan yang dihadapi etnik Rohingya.

Dalam satu kenyataan semalam, ia menyatakan usul tersebut telah diluluskan secara konsensus untuk perbincangan semasa Perhimpunan Agong Anggota-anggota Parlimen Komanwel ke-63 mulai 1 hingga 8 November di Dhaka, Bangladesh.

Usul tersebut telah meminta negara-negara anggota Komanwel untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan mencari jalan untuk membawa pulang masyarakat Rohingya pulang ke Myanmar, kata kenyataan itu.

Usul itu juga akan mendesak Kerajaan Myanmar menghentikan keganasan dan tindakan pembersihan etnik di Wilayah Rakhine dengan kadar segera dan melaksanakan cadangan-cadangan muktamad Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine.

Delegasi Malaysia dianggotai oleh lima anggota parlimen dan diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad.

Sehingga kini, lebih 600,000 penduduk Muslim Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dari wilayah bergolak itu akibat tindakan ketenteraan Myanmar.