Malaysia Dateline

KBAT: Akui kelemahan kementerian, usah tuding jari salahkan guru

Kementerian Pendidikan dilihat bersikap angkuh apabila meletakkan kesalahan kepada guru sebagai punca kelemahan pelaksanaan kaedah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr SitiĀ  Mariah Mahmud percaya ramai guru yang marah dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang meletakkan kelemahan guru sebagai punca 60 peratus sekolah berhadapan masalah KBAT yang mula diperkenalkan pada tahun 2013.

“Saya cenderung menganggap kenyataan Datuk P. Kamalanathan ini juga mencerminkan kegagalan seorang pemimpin memiliki KBAT sehingga cenderung memilih untuk membebankan guru berbanding mengakui kelemahan dari Kementerian Pendidikan.

“Kenyataan begini, pada hemat saya, turut mencerminkan sikap tidak cermat dan angkuh sebuah kementerian dalam membentuk sistem pendidikan yang sesuai dengan pembangunan masyarakat.

“Kemudian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula berkata isu murid lemah KBAT akan selesai tahun hadapan.

“Kenyataan yang berpemikiran aras rendah ini saya lihat amat tergesa-gesa dan seperti mahu menutup kelemahan kenyataan awal Datuk P. Kamalanathan.

“Perlu juga ditanya sejauh mana pula kerajaan memahami tahap persediaan para guru yang akan melaksanakan kaedah KBAT ini di dalam kelas?

“Adakah para guru ini disediakan suasana kerja yang sesuai atau golongan pendidik ini masih dilambakkan dengan pelbagai tugasan perkeranian yang tiada kaitan dengan tugas hakiki mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan semalam bahawa penerimaan dan pemahaman guru antara punca 169 buah sekolah berada di bawah tahap baik dan cemerlang hasil pemeriksaan penarafan amalan terbaik Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Katanya lagi, statistik itu mewakili 60 peratus daripada 282 sekolah rendah dan menengah yang dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.

Dalam 282 sekolah hanya 40 peratus sekolah ini telah mencapai tahap baik dan cemerlang sementara 60 peratus sekolah masih ada masalah (berada di bawah tahap baik).

Mariah yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH (Awan) Nasional menegaskan kerajaan sepatutnya menangani perkara ini, bukannya melambakkan para guru dengan pelbagai sistem dan aturan yang tergesa-gesa dakwanyanya lagi, jika mahu pendidikan negara segera berdiri setaraf dengan negara maju.

“Saya melihat golongan pendidik dan pelajar sering menjadi mangsa kepada sistem pendidikan yang bercelaru yang dilancarkan oleh kerajaan sehingga kita tidak nampak apakah falsafah dan asas pendidikan sebenar negara ini.

“Sebenarnya pelajar dan guru bukan memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi. Sebaliknya adalah ‘kemahiran berfikir dengan betul dan baik’.

“Begitu ramai yang berfikir dengan tahap tinggi tetapi akhirnya tindakan yang diambil lebih banyak menyusahkan masyarakat dan negara,” ujarnya.