Malaysia Dateline

27% peratus kes baharu Covid-19 di Sarawak

Sarawak mencatat jumlah jangkitan tertinggi Covid-19 iaitu sebanyak 351 iaitu 27 peratus daripada 1,317 kes baharu hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah keseluruhan kes pandemik itu kini mencecah 362,173 kes.

Tiga negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga mencatatkan rekod tinggi iaitu Selangor dengan 303 kes baharu dikuti Kuala Lumpur (116) dan Pulau Pinang (112).

Sementara itu, Sabah walaupun dalam kategori negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencatatkan 109 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari tadi.

Dalam masa sama, terdapat 15,835 kes aktif dengan jumlah pesakit Covid-19 yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 188 orang berbanding 183 kes semalam.

Jumlah di ICU juga termasuk 84 individu yang memerlukan alat bantuan pernafasan berbanding 81 pesakit semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan seramai 1,052 pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 345,005 orang.

Lagi empat kematian baharu direkodkan menjadikan kesemua pesakit Covid-19 yang maut seramai 1,333 orang.