Malaysia Dateline

27 restoran di P Pinang terima Sijil Bersih, Sihat dan Selamat

Sebanyak 27 Restoran Nasi Kandar di Pulau Pinang telah mendapat sijil pengiktirafan premis makanan Bersih, Sihat dan Selamat (Bess) yang diperkenalkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Exco Kerajaan Negeri, Dr Afif Bahardin.

Menurut beliau, sijil pengiktirafan premis outlet makanan Bess tersebut telah dianugerahkan setelah premis makanan tesebut memperolehi markah lebih dari 86 peratus.

Jelasnya lagi, komitmen menjaga kualiti, kebersihan serta keselamatan merupakan suatu perkara penting yang diberi perhatian serius.

“Bess yang diperkenalkam sebagai salah satu usaha bagi memberi pengiktirafan kepada premis makanan yang bersih dan juga sihat.

“Adalah menjadi harapan supaya semua pengusaha premis makanan tersebut memberi keutamaan kepada kuaiti makanan dan juga kebersihan.

“Dengan pengiktirafan tersebut, ia menjadi pendorong kepada pengusaha yang lain untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan disamping memastikan Pulau Pinang kekal sebagai salah sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi, ” tegasnya lagi.

Afif yang juga merupakan Adun Seberang Jaya turut berkata, tahap kebersihan menjadi suatu perkara utama yang diberi perhatian kerana ia melibatkan pemakanan dan juga kesihatan.

Justeru itu tambahnya, pengiktirafan yang diberikan harus dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin supaya ia sejajar dengan apa yang diaspirasikan.