2,700 penduduk terjejas akibat penutupan jalan utama

2,700 penduduk terjejas akibat penutupan jalan utama

Kira-kira 2,700 penduduk di Jalan 4/108A Pangsapuri Razak Mansion, Sungai Besi kini berdepan kesukaran untuk keluar ke jalan utama, iaitu Lebuhraya Sungai Besi berikutan penutupan jalan utama melibatkan sebuah projek pangsapuri di situ.

Pengerusi Rukun Tetangga Razak Mansion, Kamarulzaman Mohamad Sharif, 47, berkata penduduk setempat memerlukan sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit untuk keluar ke jalan utama menggunakan laluan alternatif, dan keadaan itu ternyata menyusahkan penduduk terutama golongan berumur.

Kamaruzaman Mohd Sharif

Katanya, untuk keluar ke jalan utama menggunakan jalan alternatif, jarak yang perlu ditempuh penduduk ialah kira-kira satu kilometer, berbanding laluan biasa digunakan hanya 400 meter sebelum sampai ke Lebuhraya Sungai Besi.

“Penduduk juga ada yang menggunakan perkhidmatan awam (bas). Bayangkan mereka kena pusing jauh semata-mata nak pergi ke stesen bas sebab laluan nak ke stesen bas dah ditutup sepenuhnya. Tikus pun tak muat nak lalu.

“Disebabkan projek pembinaan ini, kawasan di sini telah mengalami kesesakan yang teruk… pagi-pagi dah sesak sebab orang ramai nak hantar anak ke sekolah dan orang tua-tua pula nak pergi ke pasar.

“Bagi mengatasi kesesakan yang teruk ini, kami sebagai penduduk di sini meminta alternatif supaya jalan utama yang ditutup ketika ini, hanya dibuka bermula jam 6.30 pagi sehingga 10.30 pagi iaitu pada waktu kemuncak penduduk hantar anak ke sekolah dan pergi ke pasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai protes secara aman, di Pangsapuri Razak Mansion, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kamarulzaman mendakwa, jalan utama itu ditutup kerana telah dibeli oleh pemaju dan tiada perbincangan dilakukan bersama penduduk sebelum ini.

“Dua hari lepas, saya sudah panggil pihak DBKL datang bincang dan melihat kawasan ini. Mereka kata akan siasat sama ada jalan ini milik kerajaan atau pemaju.

“Saya juga ingin menggesa pihak DBKL supaya memainkan peranan yang lebih dalam menangani masalah rakyat ini. Lebih baik menjaga hati rakyat, selain hendak menjaga hati pemaju,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, T Nageswari, 67, meluahkan kesukarannya untuk pergi ke stesen bas berdekatan yang kini memakan masa kira-kira satu jam setengah sebelum tiba di sana.

“Saya memang menggunakan bas untuk pergi periksa tahap kesihatan saya di Hospital Kuala Lumpur.

“Sepanjang 40 tahun saya hidup di sini, memang senang… melintas sahaja dah ada stesen bas.. sekarang ini saya kena pusing jauh..

“Saya bukan muda lagi, sudah tua.. saya juga sakit lutut… macam mana nak jalan jauh?” keluhnya.

Penduduk menunjukkan laluan yang sudah dikepong kerana projek perumahan baharu yang akan dibina dikawasan tersebut.