Malaysia Dateline

272 kes Covid-19 di Sarawak dihasilkan dari 4 kluster utama

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengesahkan  sejumlah 272 kes positif Covid-19 di Sarawak telah dikenalpasti dari empat kluster utama.

Menurutnya Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, empat kluster utama itu ialah kluster Good News Fellowship (GNF) Conference, kluster Tabligh, Family RK (Itali) dan kluster pekerja penjagaan kesihatan.

Jelasnya, bagi kluster GNF, 117 kes positif telah dikenalpasti, kluster tabligh (92), Family RK (50) dan pekerja penjagaan kesihatan (13).

“Terdapat juga kluster kecil iaitu sebanyak 13 kes yang melibatkan ahli keluarga, rakan sepejabat, jiran, dalam penerbangan dan kakitangan kesihatan sekali gus membabitkan jumlah kes positif dalam kluster ini adalah 53.

“Untuk kluster ini, siasatan masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca jangkitan di kalangan kes ini.

“Manakala, bagi 46 kes yang masih dalam siasatan, Jabatan Kesihatan akan menentukan sama ada kes-kes terbabit adalah dalam bentuk kluster ataupun berasingan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Uggah menegaskan, beliau telah berbincang dengan pemimpin gereja berkaitan untuk membantu membawa ahli gereja lain tampil membuat saringan bagi mengesan mereka yang telah hadir sebelum ini.

Pada masa sama, ujarnya lagi, memandangkan Bahagian Kuching dan Samarahan adalah kawasan Zon Merah dan bagi meningkatkan kapasiti pusat saringan Covid-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Kompleks Belia dan Sukan, maka Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menambah beberapa lagi pusat saringan.

Antaranya ialah di Kota Samarahan dan Klinik Kesihatan Petra Jaya.

“Pusat saringan di Kota Samarahan yang dibuka sejak 22 Mac lalu merekodkan seramai 1,604 orang telah disaring. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,346 sampel telah diambil dan sebanyak 35 kes adalah positif,” jelasnya.

Sementara itu, semalam Sarawak telah merekodkan 16 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 387 kes setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, 13 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak, manakala dua kes dirawat di Hospital Miri, dan satu lagi kes dirawat di Hospital Bintulu.

“Bagi kes orang disyaki (PUI) pula, sebanyak 116 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan sebanyak 3,065 kes.

“Daripada jumlah itu, 2,419 kes adalah negatif dan 49 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya.